Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Selepas membuang air kecil, kebiasaannya seluar saya akan basah di bahagian peha atau celah kangkang disebabkan basuhan air kencing. Ketika saya hendak solat, saya akan menyarung kain pelikat dan menanggalkan seluar yang masih ada kesan basah tadi. Jadi saya inginkan kepastian, jika seluar saya yang masih basah terkena air mutanajis, adakah kain pelikat saya terkena najis semasa saya menyarung kain pelikat itu? Harap pihak tuan dapat menjawab persoalan saya ini. Terima kasih.
Jawapan
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, warna, bau dan rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. Merujuk kepada persoalan tuan, sekiranya diyakini seluar yang basah terkena air mutannajis, maka seluar tersebut perlu dibasuh dan disucikan. Jika kawasan basah dari seluar berpindah ke kain pelikat semasa sentuhan, maka kain tersebut juga bernajis. Jika tiada kesan basah yang berpindah, maka kain pelikat tidak dianggap bernajis.
Sekian, terima kasih.