Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t,
Saya ingin meminta penjelasan berkaitan hukum solat jamak dan qasar semasa dalam perjalanan ke luar negara.
Saya akan berangkat dari Malaysia ke Osaka, Jepun pada malam 18 Oktober dan akan tiba di Osaka pada pagi 19 Oktober. Kemudian saya akan berada di Osaka dan akan bermalam di Kyoto selama 2 hari 1 malam (21/10 hingga 22/10). Selepas itu, saya akan kembali semula ke Osaka dan pulang ke Malaysia pada 26 Oktober.
Jarak perjalanan (56km): Osaka - Kyoto
Mohon penjelasan:
Adakah saya dikira sebagai musafir sepanjang berada di Osaka dan Kyoto?
Adakah saya boleh solat Jamak dan Qasar sepanjang berada di Osaka dan Kyoto?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Perjalanan puan yang dibenarkan untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar ialah ketika dalam perjalanan bertolak dari Malaysia ke Osaka serta perjalanan pulang dari Osaka ke Malaysia. Hal ini kerana, pada waktu tersebut puan dikira berada dalam keadaan musafir.
Namun demikian, sebaik sahaja puan tiba dan menetap di Osaka puan hendaklah menunaikan solat fardu secara tamam (sempurna) kerana tempoh keberadaan di sana telah diniatkan melebihi tiga hari. Maka status puan berubah menjadi muqim (orang yang bermastautin sementara).
Adapun perjalanan dari Osaka ke Kyoto tidak mencapai jarak dua marhalah yang membolehkan pelaksanaan solat secara jamak dan qasar bagi suatu perjalanan baharu. Oleh itu, sepanjang keberadaan puan di Kyoto, solat fardu juga perlu ditunaikan secara tamam (sempurna).
Sekian, terima kasih.