Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asslamualaikum ustaz, saya nak tanya apa hukum termakan daging khinzir/babi tanpa sengaja dan benda tu dah lama berlaku. Sebab kawan saya pernah cerita yang dia pernah termakan daging tersebut tanpa sengaja. Dia juga cakap dia tidak membersihkannya. Dia beritahu perkara tu dah lama berlaku. Jadi apa hukumnya dan apa perlu dilakukan? Saya anggap tidak perlu menyertu mulutnya pada waktu sekarang kerana perkara tu sudah lama berlalu.
Jawapan
Hukum memakan daging babi adalah haram berdasarkan firman Allah SWT melalui surah al-Baqarah ayat 173:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Sehubungan itu, merujuk kepada persoalan tuan, jika seseorang termakan daging khinzir tanpa sengaja, tanpa pengetahuan, maka tidak berdosa. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 5:
Maksudnya: "... Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Oleh itu, tidak perlu disertu semula kerana perkara tersebut telah lama berlaku, tidak disengajakan, dan tidak tinggal najis yang jelas.
Sekian, terima kasih.