Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada pertanyaan. Jika si suami pernah menyatakan lafaz taklik "kalau tipu, jatuh talak 3". Ada beberapa situasi yang menjadikan tanda tanya. Situasi pertama, Isteri bergurau dalam keadaan wajah yang serious dengan menyatakan orang tu dah sampai dan apabila tiba di tempat itu, orang itu sebenarnya tak sampai lagi. si isteri hanya bergurau dan berlakon sedemikian kerana tidak mahu si suami lewat kerana telah berjanji dengan orang tersebut pada sekian waktu. si suami kata isteri telah menipunya. jadi adakah taklik itu telah berlaku? Situasi kedua, isteri membuka apps di telefon dan suami tanya tahu ke tidak dan kemudian si isteri jawab tak tahu. tetapi pada waktu itu, si isteri sedang fokus kepada apps itu dan tidak mendengar dengan fokus soalan si suami dan si suami tanya lagi sekali tahu ke tidak dan si isteri jawab tahu. si suami kata si isteri telah menipunya sebab kata tak tahu. si isteri kata sedemikian kerana dia malas nak jawab dan sedang fokus terhadap apps tersebut. jadi adakah taklik itu telah berlaku pada situasi ini?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bagi situasi pertama dengan lafaz taklik sedemikian iaitu: "kalau tipu, jatuh talak 3", sudah tentulah boleh menyebabkan jatuh talak ke atas isteri kerana menipu.
Bagi situasi kedua juga, jika kena dengan lafaz yang telah ditaklikkan oleh suami, maka boleh juga menyebabkan jatuh talak. Memandangkan lafaz taklik itu juga sorih (jelas) maksudnya.
Sehubungan itu, suami dan isteri terus kemukakan pengesahan lafaz taklik ke pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk membuat pengesahan status perkahwinan tersebut. Hanya pihak Mahkamah Syariah sahaja yang mempunyai bidangkuasa mengesahkannya.
Sekian, terima kasih.