Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt,
Saya ingin memohon penjelasan daripada pihak Mufti berkenaan dua perkara yang menimbulkan keraguan dalam solat dan wuduk saya.
Saya mempunyai luka kecil di kaki di bahagian atas dan bukan di tapak kaki iaitu bekas kurap yang saya picit beberapa hari lalu. Luka tersebut kelihatan kering, dan saya tidak menjangka ia akan mengeluarkan darah.
Namun selepas selesai solat, saya ternampak kesan darah pada stokin putih yang saya pakai. Selepas difikirkan semula, saya yakin darah itu keluar semasa saya berjalan sebelum solat kerana kasut menekan kawasan luka tersebut, lalu darah menyerap pada stokin.
Ketika mengambil wuduk dan bersolat, saya sudah membuka kasut dan stokin, dan kaki kelihatan bersih serta kering secara zahir. Namun saya juga menyedari kemungkinan ada kesan darah yang sangat sedikit yang tidak kelihatan dengan mata kasar.
Saya langsung tidak tahu bahawa darah telah keluar ketika mengambil wuduk dan semasa solat. Saya hanya perasan kesan darah selepas solat apabila saya melihat pada stokin.
Soalan 1: Adakah solat saya sah, memandangkan darah itu keluar sebelum solat tetapi saya tidak mengetahuinya ketika beribadah?
Soalan 2: Bagaimana pula dengan wuduk saya — adakah sah, kerana saya mengambil wuduk dengan kaki yang mungkin masih mempunyai sedikit najis (darah) tanpa saya sedari dan tanpa mencucinya terlebih dahulu?
Sekian, Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan:
1. Sekiranya tuan YAKIN ada darah sejurus selepas menunaikan solat, maka solat yang dilakukan adalah tidak sah dan perlu diulangi semula. Namun jika baru perasan selepas tempoh masa yang lama maka tidak perlu mengulanginya. Akan tetapi, jika telah berlalu tempoh masa yang lama dan saudara yakin bahawa najis yang ada pada kaki itu ada sebelum tuan menunaikan solat lagi, maka wajib untuk mengulangi semula solat yang telah dilakukan.
2. Wuduk sah. Ini kerana, keluarnya darah dari tubuh badan selain melalui saluran qubul dan dubur tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk. Air basuhan kekal sebagai air mutlaq lebih-lebih lagi darah tersebut amat sedikit dan tidak disedari ketika mengambil wuduk serta tidak diyakini kewujudannya ketika berwuduk.
Sekian. terima kasih.