BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Semasa saya 15 tahun, saya pernah menyertai pertandingan melukis. Saya membawa set berus lukisan untuk mengecat banner. Kemudian, ada seorang cikgu datang kepada saya dan melihat berus saya. Dia check berus saya dan dia mengesyaki bahawa berus itu diperbuat daripada bulu babi. Dia membenarkan saya untuk guna berus itu asalkan saya tidak directly sentuh berus itu dan hanya sentuh pemegang dia sahaja. Saya masa itu masih tidak tahu cara untuk menyertu dengan betul tapi saya ada cuba, menggunakan air tanah dan air biasa apabila balik ke rumah. Tapi saya hanya cuba sertu tangan saya. Ada kesan cat yang melekat pada seluar saya sampai hari ini dan saya masih menggunakan seluar tersebut. Saya masih tidak pasti cara penyebaran najis dan cara handle situasi begini. Persoalannya, adakah saya perlu sertu seluar saya sekarang? Adakah segala najis pada bulu babi itu tersebar ? kerana aktiviti mengecat agak 'serabut/messy', jadi saya masih tidak pasti bagaimana nak 'menyucikan' keadaan begini. Peristiwa tersebut sudah 5 tahun berlalu, dan saya sudah buang set berus-berus itu jadi saya tidak dapat check balik sekiranya betul atau tidak berus itu diperbuat daripada bulu babi. Ada yang mengatakan biasanya sekiranya pemegang berus tersebut di perbuat dari pada kayu (rasanya jenis kayu yang tidak diwarnakan), bulu bewarna kuning-kuning/putih-kuning begitu dan tiada jenama biasanya diperbuat daripada bulu babi. Masa itu tahun 2020, dan berus itu di beli di kedai buku ternama (bagi saya). Maaf sekiranya panjang, harap dapat bantu saya. Kalau dapat jawab lebih, silakan. Maaf. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa dalam Islam, sesuatu hukum hanya ditetapkan berdasarkan keyakinan dan bukti yang jelas, bukan atas dasar syak, andaian atau keraguan semata-mata. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

اليقين لا يزول بالشك

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan(syak).

Dalam konteks ini, kenyataan guru tersebut hanyalah bersifat andaian bahawa berus cat berkenaan diperbuat daripada bulu babi tanpa bukti yang pasti. Maka, hukum najis tidak boleh ditetapkan semata-mata berdasarkan sangkaan.

Tambahan pula, perkara ini sudah lama berlaku dan hukum asal bagi sesuatu benda adalah suci selagi tidak terbukti sebaliknya dengan adanya tanda-tanda najis yang jelas seperti bau, warna atau rasa yang menunjukkan ia najis.

Oleh itu, berus cat tersebut kekal dihukum suci kerana tiada bukti kepastian ia diperbuat daripada bulu babi. Pakaian yang terkena cat tersebut juga dihukum suci. Justeru, tidak perlu menyertu seluar berkenaan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 11

message user image