Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apa hukumnya jika seorang perempuan dinikahkan oleh bapanya tetapi tanpa pengetahuannya sebernarnya bapa itu bukanlah bapa kandungnya? Sebagai contoh, sewaktu baru lahir dia tertukar dengan bayi lain. Adakah sah nikah perempuan tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan,
1. Sekiranya ia telah berlaku, pertama sekali perlu melaporkan dengan kadar segera perkara ini ke Pejabat Agama Islam Daerah berdekatan.
2. Pihak kami tidak boleh membuat sebarang pengesahan tentang perkara ini kerana ia melibatkan keterangan pihak-pihak bagi memastikan persoalan atau isu ini sahih atau sebaliknya. Antara pihak yang paling penting dalam isu ini adalah bukti atau keterangan dan pengakuan dari pihak bapa dan ibu si isteri, serta pihak yang berkaitan.
3. Sekiranya pernikahan itu disabitkan oleh mahkamah tidak sah, maka pernikahan itu akan difaraqkan oleh mahkamah Syariah dan mahkamah juga akan menentukan status anak yang lahir dari pernikahan ini sebagai anak wati' syubhah atau persetubuhan syubhah, di mana anak ini boleh dinasabkan kepada bapanya dan sekiranya anak itu perempuan, bapanya boleh menjadi wali kepada pernikahannya nanti.
Adapun pasangan yang difaraqkan atau dipisahkan pernikahannya oleh mahkamah, sekiranya mereka berkahwin semula maka pernikahan tersebut hendaklah menggunakan wali hakim sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah.
Namun, sekiranya ia hanyalah andaian semata-mata,tiada pengakuan dan bukti yang mengatakan anak itu bertukar dengan bayi lain ketika lahir, maka perkahwinan itu adalah sah.
Sekian, terima kasih.