Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT.... Saya ada satu pertanyaan....
Suami isteri dah bercerai, tapi bekas suami sering datang ke rumah bekas isteri, bermalam. Di rumah ada anak yang remaja dalam lingkungan 15 tahun dan 3 orang anak kecil yang lain...
Adakah dibenarkan dalam Islam?
Jawapan
Semoga puan sekeluarga sentiasa berada di bawah rahmat Allah SWT. Berkenaan soalan yang diajukan, pasangan suami isteri yang sudah bercerai dan berakhir tempoh idah jika ada dikira sebagai ajnabi walaupun mempunyai anak. Justeru, kedua-duanya ditegah daripada melakukan perkara yang tidak dibenarkan antara lelaki dan perempuan ajnabi seperti bermalam di dalam rumah yang sama tanpa ditemani orang dewasa lain yang mempunyai ikatan persaudaraan seperti adik-beradik. Selain itu, perlu dipastikan bahawa tempat tidur kedua-duanya adalah berasingan. Hal ini kerana perbuatam tersebut dikuatiri akan membawa kepada zina. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra' ayat 32:
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
Sekian, terima kasih.