Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum. saya menetap di KL dan sudah berkahwin. saya ada kakak ipar yang kerap datang ke HKL dari Kelantan dan bermalam dirumah saya. Masalah akak ipar saya jenis menyusahkan. Datang rumah mencuri barang, selongkar bilik saya, tidak membantu masak, bersikap mahu dilayan macam raja sedangkan saya ada anak kecil. Ini nak datang rumah lagi tetapp saya cakap kat isteri saya tak nak akak ipar saya datang ke rumah saya tetapi isteri melawan nak juga dia datang. wajarkah tindakan saya dalam hal tidak bagi akak ipar saya datang sebab akak ipar saya jenis menyusahkan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, tuan sebagai ketua keluarga berhak untuk membuat keputusan dalam urusan rumahtangga tuan. Ada kewajarannya jika tuan memutuskan untuk tidak membenarkan kakak ipar datang ke rumah apabila kehadirannya membawa perkara buruk seperti berlaku kecurian dan menyusahkan ahli keluarga yang lain. Isteri wajib patuh dan taat kepada suaminya selagi ketaatan itu bukan kepada perkara yang menyalahi syarak. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.” (an-Nisa : 34) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.