BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Saya ada pertanyaan. Saya ada dua orang sahabat, seorang lelaki dan seorang perempuan yang mana mereka ada perselisihan faham. Sahabat perempuan saya ingin meminta maaf dan meminta tolong kepada saya untuk menyampaikan surat permohonan maaf dan buah tangan kepada sahabat lelaki saya. Tetapi, sahabat lelaki saya tidak mahu menerima apa-apa. Saya telah cuba banyak kali memujuk untuk menerima permohonan maaf dan buah tangan tersebut tetapi beliau tetap tidak mahu ambil dan memulangkan semula kepada saya. Saya cuba untuk memulangkan barang tersebut kepada sahabat perempuan saya tetapi beliau juga enggan ambil. Oleh itu, sehingga kini barang tersebut ada pada saya. Baru-baru ini saya ingin mengemas rumah dan bercadang untuk membuang barang tersebut. Jadi, adakah dibolehkan untuk dibuang atau saya masih diwajibkan untuk menyampaikan barang tersebut? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, asas pelaksanaan amanah adalah melaksanakan amanah yang diberikan berdasarkan permintaan pemberi amanah dengan semampu dan sebaiknya. Firman Allah SWT yang bermaksud : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (an-Nisa’ :”58) Bagi situasi ini, sebaiknya tuan hubungi pemberi amanah dan meminta pandangan beliau kerana keengganan penerima menerima barangan tersebut kerana tuan telah melaksanakan usaha berulang kali agar amanah tersebut dipenuhi. Justeru, jika masih tiada maklumbalas, kaedah yang bertepatan dengan syariat Islam terhadap barangan tersebut ialah dengan menghulurkan barangan tersebut kepada pihak yang lebih memerlukan daripada melakukan pembaziran dengan membuangnya. Bagaimanapun, jika dikemudian hari si pemberi dapat ditemui, perlu dimaklumkan dan minta penjelasan statusnya, perlu diganti atau sebaliknya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 83

message user image