Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya nak bertanya.
1. Dulu masa saya duduk asrama, saya ada tukar bakul dobi senyap-senyap sebab saya nak giliran hantar dobi ikut hari yang bersesuaian dengan saya. Tapi selepas tu orang dobi perasan yang saya ada tukar bakul tu sebab cat kod warna lain dan saya dah minta maaf kepada mereka. Mereka catat nama saya kat kertas dan suruh saya pergi jumpa cikgu disiplin sendiri untuk bincang pasal ni tapi saya takut, maka saya tak jumpa pun. Tapi hari-hari seterusnya, cikgu disiplin tu tak ada cari saya dan orang dobi tu pun basuh je baju saya macam biasa. Adakah memadai saya minta maaf kepada orang dobi tu je atau saya dikira dosa mencuri sebab tak pergi mengaku depan cikgu disiplin?
2. Saya pernah terlanggar kereta orang semasa reverse parking tapi saya langgar tu sangatlah ringan (macam berlaga sikit je). Saya check pun macam tak nampak kesan apa-apa. Masa tu saya takut nak bagitahu kat pemilik kereta sebab kereta dia jenis mahal sangat dan saya tak ada duit kalau dia mintak saya ganti rugi apa-apa. Adakah saya perlu cari dan minta maaf pada tuan kereta tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, ianya terbahagi kepada dua persoalan.
Dalam situasi pertama, perbuatan menukar bakul dobi secara senyap-senyap demi mendapatkan giliran yang sesuai merupakan suatu kesalahan dari sudut akhlak dan khianat terhadap amanah, walaupun ia tidak dikira sebagai mencuri secara hukum syarak kerana tiada pengambilan hak milik orang lain secara kekal, namun ia tetap melanggar peraturan. Oleh kerana saudari telah mengaku kesalahan dan memohon maaf kepada pihak dobi, itu sudah memadai dari sudut tanggungjawab peribadi dan jika mereka meneruskan tugasan seperti biasa tanpa tindakan lanjut, maka ia menunjukkan mereka menerima permohonan maaf tersebut.
Tidak pergi berjumpa cikgu disiplin bukanlah satu dosa jika perkara itu telah reda dan tiada lagi tuntutan, tetapi sebagai tanda kejujuran dan akhlak yang baik, adalah lebih mulia jika seseorang berani tampil bertanggungjawab. Dalam hal ini, saudari boleh memohon ampun kepada Allah SWT, berazam untuk tidak ulangi kesilapan dan menebus rasa bersalah dengan melakukan kebaikan lain seperti sedekah atau membantu orang lain, kerana Islam menilai taubat dan usaha memperbaiki diri lebih tinggi daripada kesilapan yang telah berlaku.
Untuk persoalan kedua, dalam situasi di mana saudari terlanggar kereta orang secara ringan semasa reverse parking dan tiada kesan kerosakan yang jelas, hukum asalnya dalam Islam ialah saudari perlu bertanggungjawab jika berlaku kerosakan atau mudarat kepada harta orang lain. Namun jika tiada kesan langsung dan pemilik kereta tidak menyedari atau tidak menuntut apa-apa, maka saudari tidak wajib mencari dan memohon maaf secara khusus. Memadai jika saudari menyesali perbuatan tersebut, memohon ampun kepada Allah dan berazam untuk lebih berhati-hati di masa akan datang.
Jika saudari yakin ada kesan atau kerosakan walaupun kecil, maka sebaiknya cuba cari pemilik dan jelaskan kepadanya. Tetapi jika benar-benar tiada kesan dan tiada tuntutan, maka saudari tidak menanggung dosa selagi tidak berlaku penganiayaan atau penipuan. Dalam kes seperti ini, taubat, keinsafan dan usaha memperbaiki akhlak adalah langkah terbaik untuk membersihkan hati dan menjaga hubungan sesama manusia.
Sekian, terima kasih