Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, maaf boleh saya bertanya sedikit. Nama saya syameera. Boleh saya minta pendapat, apakah cara terbaik untuk menegur kebiasaan ibu bapa saya membeli barang (hoarder) sehingga kebersihan rumah tidak terjaga. Saya dan adik beradik sentiasa mengemas rumah dan banyak sangat barang barang yang tidak digunakan mencecah tempoh 5 tahun. Tetapi bila kami mahu derma atau buang, ibu melarang. Jadi di rumah sekarang, bahagian luar sudah menjadi stor. Dan ibu kerap membeli dari tiktok sehingga berlebihan. Mohon pandangan cara terbaik utk saya menangani masalah ni secara berhemah, beradab tanpa menyakiti hati ibu bapa saya. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, tabiat menyimpan barang secara berlebihan sering berpunca daripada rasa sayang dan nilai sentimental terhadap sesuatu barangan. Namun apabila keadaan ini menyebabkan rumah menjadi sempit, sukar dijaga kebersihannya serta menjejaskan keselesaan keluarga, maka ia perlu diurus dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Islam mengajar umatnya agar hidup secara sederhana (wasatiyyah) dan tidak melampaui batas dalam urusan harta benda. Firman Allah S.W.T.:
“Dan apabila mereka membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kedekut, tetapi berada di antara keduanya, secara sederhana.” (Surah al-Furqan, ayat 67)
Daripada Abu Malik al-Harith bin Asim al-Asya'ri R.A, Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” (Riwayat Muslim)
Hadis ini menegaskan bahawa kebersihan dan keteraturan hidup mencerminkan keimanan seseorang. Rumah yang bersih dan tersusun bukan sahaja mendamaikan jiwa, malah menjadi tanda keberkatan dan rahmat Allah S.W.T.
Oleh itu, nasihatilah ibu bapa dengan penuh kasih sayang dan adab. Elakkan teguran secara terus yang boleh menyinggung perasaan mereka. Sebaliknya, ajaklah mereka berbincang secara lembut, contohnya dengan menekankan manfaat bersedekah atau memberi barang yang tidak digunakan kepada orang yang memerlukan. Dengan cara itu, tindakan mengemas dan menyusun rumah dapat dilakukan bersama dengan niat ibadah serta mengundang pahala.
Semoga Allah S.W.T. memberikan saudari dan keluarga kekuatan, kesabaran serta keberkatan dalam menjaga keharmonian rumah tangga.