Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya hendak bertanya. Saya seorang isteri dan mempunyai kisah silam diri saya ini semasa bujang dengan seseorang lelaki. Perlukah saya memberitahu peristiwa hitam itu kepada suami saya? mohon pendapat dari pihak tuan. Sekarang ini saya dihantui perbuatan silam hitam itu sehingga bagi tekanan kepada saya seolah-olah syaitan menghasu. Mohon pendapat pihak tuan. Terima Kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, Islam melarang untuk membuka aib kepada orang lain sama ada aib diri sendiri atau menceritakan aib orang lain. Bahkan kita diperintahkan untuk menutup aib dan kesilapan-kesilapan lampau, kerana ia suatu perkara yang sangat peribadi dan boleh menjatuhkan kahormatan diri. Sembunyikanlah segala keaiban lampau walaupun terhadap suami kerana ia memungkinkan untuk berlakunya keruntuhan dalam rumahtangga atau ungkit-mengungkit dikemudian hari. Berhati-hatilah ketika berbicara dengan suami agar suami tidak memaksa untuk diceritakan segala kisah silam yang berlaku. Maka segala kisah silam atau segala keaiban tidak perlu diceritakan kepada ibu bapa dan keluarga terutamanya apabila telah bertaubat. Taubat adalah penghapus segala dosa-dosa yang telah lalu. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih