Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz,saya ada pertanyaan yang benar-benar merungsingkan saya. Suami pernah melafaz dua taklik. Pertama,”Jika sesiapa diantara suami atau saya melakukan seks ringan dengan orang lain maka jatuh talak 1”. Taklik kedua suami menyebut “Jika sesiapa diantara suami atau saya melakukan seks (bersetubuh) maka jatuh talak 3 kepada saya”. Lafaz ini dilafazkan pada waktu yang sama. 2 tahun yang lalu, suami meminta ampun dan mengaku bahawa dia telah melakukan seks ringan dengan wanita lain dan dia menyedari talak 1 telah jatuh. Saya memaafkan suami kerana memikirkan saya hamil pada saat itu. Suami melafazkan rujuk kepada saya dan saya pun terima tanpa melaporkan ke pejabat agama. Persoalan saya ustaz, setelah rujuk kembali, adakah taklik yang dilafaz dahulu telah gugur atau taklik tersebut masih ada? Saya bimbang ustaz kerana baru-baru ini saya mendapat tahu suami melakukan seks (bersetubuh) dengan wanita lain. Adakah taklik kedua yang dilafazkan itu masih sah setelah rujuk dilakukan dahulu?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, pertamanya puan dan suami perlu melaporkan pengesahan lafaz cerai taklik dan pengesahan rujuk ke Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk disahkan dan direkodkan, kerana ia tertakluk kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam bagi setiap negeri. Bagi taklik yang kedua, perlu dipastikan bahawa adakah suami benar-benar melakukan seks atau sekadar dengar-dengar sahaja. Puan mesti dapatkan kepastian atau pengakuan dari pihak suami. Jika tidak benar, maka taklik kedua ini tidak gugur selagi tidak dilanggar, begitu jugalah jika sebaliknya. Perkara ini mesti dilaporkan yang disahkan oleh Hakim Syarie di Mahkamah Syariah untuk penentukan status perkahwinan puan dan suami. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.