Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya nak tanya
Saya ada ambil anak angkat lelaki oku down sydrome
Keadaan dia:
Dewasa
Tiada sifat malu(dia tak ada perasaan malu bila dia berbogel depan orang)
Tidak boleh bercakap
Tidak berapa pandai urus kn diri(kadang2 kita perlu basuh selepas dia buang air besar)
Pengurusan diri kadang2 ada yang perlu di bantu ada yang memang kita ken buat sebab dia tak pandai urus mcm potong kuku, potong rambut, mandi kn, bersih kan hingus kalau selesema, bersih kn najis dia bila dia kena cirit birit, bgi makan minum, urus ubat dia.
Tak dapat beza kan yang dia buat itu betul atau tidak(msuk bilik orang atau rumah org sukahati, bila makan tu kucing makan sekali 1 pinggan dan dia hanya tengok saja,buang plastik makanan bersepah2)
Kadang2 suka tantarum bila tak dapat apa dia nak
Boleh dikata kan dia tidak waras seperti orang lain..
Apa kah status saya dengan dia.. Dari segi aurat dan pengurusan adakah ada keringan dalam hal ini.. Kadang kala saya perlu urus dia bila suami keluar berkerja.. Saya dan suami gilir uruskan anak oku ini
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa dalam Islam, hukum menutup aurat adalah menjadi kewajipan bagi individu yang baligh dan berakal. Namun, bagi Orang Kurang Upaya (OKU), hukum menutup aurat bagi mereka adalah bergantung kepada tahap kefahaman dan keupayaan mentalnya. Sekiranya OKU tersebut masih mampu memahami perintah agama, maka dia tetap wajib menutup aurat. Ini kerana kewajipan menutup aurat tidak gugur bagi mereka yang masih boleh memahami hukum asas agama. Walau bagaimanapun, sekiranya OKU tersebut tidak dapat memahami hukum-hakam, maka dalam hal ini dia dikategorikan sebagai "tidak mukallaf" (tidak dipertanggungjawabkan).
Justeru, berdasarkan kenyataan yang dinyatakan, didapati bahawa anak OKU down syndrome tersebut dikategorikan sebagai tidak mukallaf dan pengurusan dirinya perlu dilakukan atau dibimbing oleh orang lain.
Walau bagaimanapun sebaiknya, ketika menguruskan anak OKU tersebut, berusahalah menjaga auratnya mengikut yang termampu. Nabi SAW menyuruh menutup aurat di hadapan orang yang buta, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah RA, bahawa dia menyatakan;
Maksudnya: Aku bersama Nabi SAW dan Maimunah, dan Abdullah ibn Ummi Maktum datang kepada kami – dan hal ini berlaku selepas turunnya perintah kewajipan berhijab – maka Nabi SAW bersabda: “Tutuplah aurat kalian daripadanya”. Maka kami pun berkata: “Wahai Rasulullah SAW, bukankah dia itu buta dan tidak melihat dan mengenali kami?” Maka Rasulullah SAW berkata: “Adakah kamu berdua buta dan tidak melihatnya?” (Riwayat Abu Daud)
Sekian, terima kasih.