BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..

Saya ada beberapa soalan mengenai poligami. Untuk makluman pihak tuan/puan, suami saya telah berkahwin tanpa pengetahuna saya pada Jun 2024. Selepas beberapa minggu, beliau telah menceraikan perempuan itu, dan merujuk kembali tanpa pengetahuan saya. Bagi talak ke 2 saya tidak pasti bila perkara ini berlaku. Setelah beberapa lama, suami memaklumkan telah bercerai semula dengan talak 3. Soalan saya adalah seperti berikut :

1) Suami ingin berkahwin semula dengan perempuan sebelum ini dengan alasan talak 2 yang dijatuhkan adalah tidak sah. Dia memaklumkan telah membuat pengesahan dengan jabatan agama islam di Thailand. Adakah perkara ini dibenarkan memandangkan suami dan perempuan itu telah menhapuskan bukti talak yang dijatuhkan tersebut?

2) Sebagai isteri, bolehkah saya membuat laporan mengenai perkahwinan mereka kerana saya was-was cerai dan rujuk mereka?

3) Jika suami tidak mahu mendaftarkan perkara ini dan tidak mahu membuat pengesahan mengenai perkara ini di dalam Mahkamah di Malaysia, adakah mereka masih boleh berkahwin?

4) Jika perkahwinan ini berlaku juga di luar negeri, apakah status perkahwinan mereka?

 

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, secara umumnya pasangan yang telah benikah di luar negara hendaklah mendaftarkan pernikahan mereka di Malaysia. Kegagalan mematuhi undang-undang lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hukum syarak (pernikahan, perceraian dan ruju') boleh dikenakan hukuman undang-undang dan boleh menyebabkan masalah yang berkaitan dengannya seperti tempoh iddah, nasab anak, faraid (jika berlaku kematian bagi pasangan yang belum mendaftarkan pernikahannya) dan sebagainya.

1. Seandainya perkara itu telah diputuskan dan disahkan oleh pihak yang sah daripada Jabatan Agama Islam Thailand, maka keputusan itulah yang dipegang berdasarkan dokumen atau sijil yang dikeluarkan. Seandainya terdapat penipuan dan sebagainya, itu adalah tanggungjawab mereka yang tidak menceritakan semua perkara yang sepatutnya.

2. Puan boleh melaporkan perkara ini ke Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya.

3. Tindakan suami tidak mahu mendaftarkan perkahwinan adalah tindakan yang membelakangkan hukum syarak dan undang-undang yang dikuatkuasakan kepada warganegara Malaysia khususnya serta menimbulkan masalah dikemudian hari. 

4. Jika mereka berkahwin di luar negeri, itu adalah di bawah bidangkuasa negara berkenaan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 84

message user image