BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. 

 

Tuan, saya ingin bertanya. Saya berniqab. Setelah hampir 10 tahun, asbab ekonomi yang semakin meruncing dan sebab tertentu yang lain, saya ambil keputusan untuk bantu suami di kedai makan dengan keizinan suami. 

 

 

 

Pemakaian apron adalah wajib sepanjang berada di kedai. Persoalannya;

 

1. Jika saya memakai apron, secara tidak langsung akan menampakkan bentuk kepala dan bahu (apronnya tidak di ikat ketat cukup sekadar syarat mengenakan apron), adakah saya di kira dengan sengaja melanggar syariat Allah berkaitan menutup aurat. 

 

2. Saya juga di tegur kerana memakai bag selimpang atau di bahu atas alasan yang sama. Sebab saya memakai bag dengan cara begitu adalah untuk mengelakkan ragut dan elak tudung saya terselak jika di tiup angin. Tiada bentuk dada yang terlihat, ada lapisan niqab yang menghalang. Cuma bahagian bahu terbentuk bila bag di sandang. 

 

Adakah saya di kira melakukan kesalahan atas ke dua-dua perbuatan tersebut? Mohon pencerahan dari pihak Tuan agar saya tidak ada perasaan ragu untuk membantu suami saya mencari rezeki bersama- sama. 

 

Terima kasih saya dahulukan. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan;

1. Pemakaian apron tidak melanggar syariat Allah, lebih-lebih lagi jika tidak diikat ketat. Hal ini kerana aurat telah ditutup dan warna kulit tidak kelihatan. Dalam hal ini, Syaikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebut:

لَا يَضُرُّ بَعْدَ سَتْرِ اللَّوْنِ أَنْ تَحْكِيَ الْحَجْمَ، لَكِنَّهُ لِلْمَرْأَةِ مَكْرُوهٌ

Maksudnya: Tidak menjejaskan hukum menutup aurat setelah pakaian tersebut menutupi warna kulit, walaupun menampakkan bentuk tubuh, namun hukumnya makruh bagi wanita.

Namun begitu, hukum makruh tersebut berkaitan dengan pakaian yang benar-benar menampakkan bentuk tubuh secara jelas. Sekiranya seseorang wanita telah berusaha mengenakan pakaian yang tidak jarang dan tidak ketat, maka keadaan yang hanya memperlihatkan bentuk asas tubuh seperti kepala dan bahu yang tidak dapat dielakkan tidak dihukumkan makruh, kerana antara larangan dalam berpakaian adalah  kerana pakaian tersebut ketat dan jarang.

Oleh itu, dengan mengambil kira usaha menutup aurat secara sempurna serta ketiadaan unsur pakaian ketat atau jarang, pemakaian apron dalam keadaan tersebut adalah harus dan tidak bercanggah dengan syariat.

2- Menampakkan bentuk bahu kerana beg yang disandang bukanlah aurat kerana bukan disebabkan pakaian ketat atau niat untuk menonjolkan bentuk tubuh.

Pemakaian yang menepati tuntutan menutup aurat ialah pakaian yang longgar, tidak nipis dan tidak ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh secara jelas seumpama bertelanjang. Dalam hal ini, pemakaian apron dan beg adalah diharuskan kerana ia termasuk dalam keperluan kerja dan faktor keselamatan, sedangkan pakaian asal yang dipakai adalah longgar serta mematuhi kehendak syariat. Oleh itu, pemakaian tersebut tidak dianggap melanggar hukum menutup aurat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 57

message user image