Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1. Saya tidak ingat berapa banyak puasa yang ditinggalkan dari dahulu sehingga sekarang. Namun saya ingin membayar fidyah untuk ketenangan hati dan kemudiannya menggantikan puasa sedikit demi sedikit. Adakah dibolehkah untuk agak-agak jumlah hari untuk bayaran fidyah?
2. Saya tidak mempunyai pekerjaan, jadi kekangan wang untuk bayar fidyah berganda.. Saya mungkin mempunyai wang simpanan namun saya memilih untuk membayar fidyah tidak berganda atas sebab wang tersebut perlu digunakan untuk keperluan hidup. Adakah syarat tertentu untuk pemilihan fidyah berganda atau tidak?
3. Negeri asal dan negeri saya menetap hanya membenarkan bayaran fidyah berganda dan tidak menawarkan kemudahan fidyah tanpa ganda. Adakah dibolehkan saya membayar secara online di negeri yang menawarkan kemudahan fidyah tanpa ganda?
4. Setelah bayar fidyah, jika saya tak mampu mnyelesaikan ganti kesemua puasa, adakah saya masih perlu bayar fidyah pada tahun berikutnya untuk hari-hari yang masih berbaki ganti puasa?
terima kasih
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara asasnya, Fidyah diwajibkan ke atas seseorang yang meninggalkan puasa dan tidak mengqadhanya sehingga masuk Ramadan berikutnya, sama ada puasa itu ditinggalkan kerana keuzuran syar‘ie atau tanpa keuzuran. Seandainya meninggalkan puasa dengan sebab uzur syar'i diwajibkan membayar fidyah, maka lebih utama diwajibkan membayar fidyah jika meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa ada keuzuran. Apabila seseorang tidak dapat memastikan jumlah sebenar puasa yang ditinggalkan, maka syarak membenarkan untuk menganggarkan jumlah hari berdasarkan sangkaan yang paling kuat (Ghalabat al-Dzan).
Oleh itu, puan boleh membuat anggaran hari yang munasabah untuk bayaran fidyah serta berusaha menggantikan puasa secara beransur-ansur mengikut kemampuan. Perlu diingat bahawa pembayaran fidyah tidak menggugurkan kewajipan untuk mengqadha puasa yang telah ditinggalkan. Sebaliknya, puan tetap perlu berusaha sedaya mampu untuk menggantikan puasa tersebut.
Adapun bagi urusan pembayaran fidyah, puan boleh memilih untuk melunaskan bayaran di mana-mana negeri. Namun demikian, lebih diutamakan untuk puan membayar fidyah mengikut ketetapan fatwa yang telah diputuskan di negeri Melaka sebagai tempat tinggal puan, serta bagi memastikan manfaatnya sampai kepada asnaf fakir miskin di negeri Melaka.
Sekian, terima kasih.