BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya ada soalan berkenaan kaedah sertu. Seperti yang saya tahu, cara sertu adalah dengan 7 kali basuhan, salah satunya dengan menggunakan air yang bercampur tanah dan 6 kali basuhan adalah dengan menggunakan air mutlak. Jadi soalan saya adalah, adakah dibenarkan jika basuhan dengan menggunakan air tanah tersebut dilakukan bukan pada basuhan pertama? Sebagai contoh basuhan air tanah tersebut dilakukan pada basuhan ketiga atau ketujuh? Ini kerana saya pernah melakukan sertu dan basuhan dengan air tanah tersebut  bukan pada basuhan pertama, jadi saya takut sertu saya tidak diterima.

 

Sekian, terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang ditanyakan, sertu ialah proses menyucikan najis mughallazah dengan tujuh (7) kali air bersih di mana salah satunya dengan air yang bercampur tanah. Dibenarkan basuhan air tanah itu dilakukan pada mana-mana kali basuhan (basuhan pertama, kedua, ketiga, sehinggalah ketujuh), asalkan satu basuhan itu menggunakan air bercampur tanah, dan enam basuhan selebihnya menggunakan air mutlak. Namun adalah sebaik-baiknya air yang pertama adalah air yang dicampur dengan tanah kemudian diikuti dengan enam (6) kali basuhan menggunakan air mutlak yang lain. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW:

طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاَهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah. (Riwayat Muslim) 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 33

message user image