Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum , apakah hukum memakai fake eyelash (bulu mata palsu yang diperbuat dari fiber sintetik) . sebab fake eyelash ni bukan yang jenis permanent (kekal & tak boleh cabut) , sekiranya nak solat , boleh terus cabut dan cuci dengan makeup remover maka bersih dan boleh ambil wudhuk seperti biasa . adakah ianya masih jatuh hukum haram ? tujuan saya memakai fake eyelash ni disebabkan bulu mata asal saya halus2 dan tidak nampak . tetapi fake eyelash yang saya gunakan tidak lah terlampau tabaruj . cukup sekadar nampak ala kadar . sebab saya bekerja yang memerlukan untuk berjumpa dengan ramai orang , maka saya jadikan ianya sebagai 1 cara untuk boost confident saya untuk berinteraksi dengan orang .
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Perhiasan dan kecantikan merupakan sebahagian daripada fitrah wanita. Islam sendiri menggalakkan umatnya tampil kemas, bersih dan sedap dipandang asalkan dilakukan dengan sederhana serta mengikut batas yang dibenarkan. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia sukakan keindahan. (Riwayat Muslim)
Justeru, pemakaian eyelash yang diperbuat daripada bahan berasaskan fibre sintetik adalah harus sekiranya ia bertujuan menutup kekurangan kecil, meningkatkan keyakinan diri, serta tidak menimbulkan fitnah dan bukan untuk tujuan tabarruj. Dalam hal ini, tabarruj bermaksud perhiasan yang dipamerkan secara berlebihan dengan tujuan menarik perhatian dan membangkitkan pandangan syahwat, khususnya di hadapan bukan mahram.
Di samping itu, hendaklah dipastikan bahawa pemakaian eyelash tersebut tidak bersifat kekal, mudah ditanggalkan, serta tidak menghalang sampainya air ke anggota wuduk. Namun, sekiranya pemakaiannya dilakukan secara keterlaluan, berlebihan dan jelas menyerupai perbuatan tabarruj, maka hukumnya adalah haram.
Sekian, terima kasih.