Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkenaan najis.
Beberapa hari yang lalu, saya terkopek sedikit kulit di jari saya sehingga keluar darah sedikit daripadanya. Saya cuci jari saya dengan air dan lap dengan tisu. Tisu tersebut ada kesan darah sedikit. Tisu itu juga basah kerana lap basuhan tersebut. Saya kemudian buang tisu tersebut dan saya rasanya terlupa basuh tangan selepas demikian. Saya kemudian jalan dan tersentuh kaunter dapur dan kerusi di meja makan. Saya kemudian baru perasan bahawa saya mungkin terlupa basuh tangan. Tangan saya rasanya tiada kesan darah, cuma hanya basah akibat tisu tersebut.
Saya basuh kaunter yang saya rasanya tersentuh. Kerusi di meja makan saya lap dengan kain basah dan saya kemudian teringat bahawa kalau najis kena alirkan air. Saya kemudian terlupa dan kadang2 menangguh untuk buat demikian. Tetapi saya tidak pasti sama ada tangan saya itu kira najis hukmiyyah atau ainiyyah, dan daripada apa saya dengar najis hukmiyyah hanya menyebar kepada pihak pertama yang terkena. Saya kemudian rasa waswas dan takut sekiranya ada ahli keluarga saya sentuh kerusi tersebut dengan tangan basah, akan menyebabkan pakaian jadi najis dan tidak sah solat mereka dan najis akan merebak ke tempat lain.
Soalan saya adalah :
1) Adakah tangan saya kira kena najis hukmiyyah atau ainiyyah?
2) Betulkah bahawa najis hukmiyyah hanya merebak ke pihak yang pertama yang kena najis tersebut?
3) Bagaimanakah cuci kerusi yang terkena najis sebab sukar untuk membuka kain kerusi tersebut?
Terima kasih.
Jawapan
Darah yang keluar daripada manusia adalah dikira sebagai najis. Kenajisan darah ini juga jelas disepakati oleh empat mazhab serta perlu dihilangkan. Namun begitu, seandainya darah itu sedikit pada adat seperti tompokan kecil sama ada pada badan atau pakaian, maka ia dimaafkan dan solat yang dilakukan adalah sah.
Oleh itu, merujuk kepada persoalan tuan,
1) Tangan tuan tidak dikira terkena najis hukmiyyah atau pun ainiyyah.
2) Najis hukmiyyah itu tidak boleh berpindah melainkan dengan kehadiran sifat-sifat najis iaitu bau, warna dan rasa.
3) Hilangkan najis terlebih dahulu seterusnya dialirkan air ke atas tempat yang terkena najis sahaja dan lap kawasan tersebut dengan menggunakan kain.
Sekian, terima kasih.