Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Saya wanita bujang berumur 42 thn menetap bersama ayah saya, kakak saya dan suaminya serta 2 org anak anaknya. Rumah yg saya menetap ni asalnya adalah rumah ibubapa saya dan selepas ibu saya meninggal, arwah ibu mewasiatkan rumah ni kepada saya dan menjadi milik saya sepenuhnya. Kakak saya dan suaminya sudah menetap di rumah ni dekat 20 thn daripada zaman saya belajar lagi dan makin lama makin menimbulkan ketidakselesaan pada saya. Mereka menetap di rumah ni sejak rumah ni masih rumah ibubapa saya (semasa arwah ibu masih hidup) sehinggalah dah menjadi milik saya tidak menunjukkan tanda tanda utk berpindah.
Apa pandangan islam dalam hal ipar perempuan menetap bersama abg ipar lebih 20 tahun? Masing masing dah makin meningkat usia, dan tak mungkin selamanya boleh duduk serumah lagi. Mohon nasihat dan pandangan ustaz. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, ada asasnya, kehadiran seorang lelaki bersama wanita ajnabi (bukan mahram) adalah diharuskan sekiranya terdapat mahram bagi pihak wanita tersebut bersama-sama mereka. Kehadiran mahram ini berfungsi sebagai penghalang atau benteng daripada berlakunya fitnah mahupun perbuatan khalwat yang dilarang.
Maksudnya: Dan sesungguhnya mereka (pemfitnah) telah menyebut-nyebut seorang lelaki (Safwan) yang aku tidak ketahui tentangnya melainkan kebaikan, dan tidaklah dia masuk ke rumah keluargaku melainkan bersamaku. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa tindakan Safwan masuk ke rumah Nabi SAW tidak menimbulkan fitnah pada asalnya kerana beliau hanya masuk ketika Nabi SAW (sebagai mahram/suami) ada bersama.
Walau bagaimanapun, dalam konteks hubungan kekeluargaan, perlu ditegaskan bahawa status adik-beradik ipar adalah ajnabi dan bukan mahram. Justeru, ruang untuk berlaku fitnah atau khalwat (berdua-duaan) tetap wujud sekiranya mahram tiada di rumah atau berada di luar kawasan. Situasi ini boleh membawa kepada keadaan khalwat yang membahayakan dan dilarang lebih-lebih lagi apabila melibatkan antara adik-beradik ipar. Berkhalwat dengan adik-beradik ipar lebih berbahaya kerana ia lebih mudah untuk rapat dan mungkin dilihat biasa berbanding berkhalwat dengan ajnabi.Diriwayatkan bahawa Umar al-Khattab RA menyebutkan pada salah satu khutbahnya, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Ketahuilah, tidaklah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan syaitan menjadi yang ketiga antara mereka berdua.
Justeru, adalah disarankan untuk puan berbincang bersama-sama dengan kakak puan tentang situasi yang sedang dialami, kesan dan akibatnya supaya adanya kesedaran daripada pihak kakak puan untuk mengambil tindakan lanjut.
Sekian, terima kasih.