Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan dan puan,
Terdapat kesan darah di lantai di tengah-tengah rumah saya ketika saya tercedara. Jadi bagaimanakah saya perlu buat untuk membersihkan darah ini kerana darah ialah najis? Bagaimanakah pula jika itu adalah kesan air kencing? Sekian terima kasih?.
Jawapan
Darah yang keluar daripada manusia adalah dikira sebagai najis. Kenajisan darah ini juga jelas disepakati oleh empat mazhab serta perlu dihilangkan. Namun begitu, seandainya darah itu sedikit pada adat seperti tompokan kecil sama ada pada badan atau pakaian, maka ia dimaafkan dan solat yang dilakukan adalah sah.
Oleh itu, merujuk kepada persoalan tuan, kesan darah dilantai perlu dibersihkan dahulu seterusnya dialirkan air mutlak di kawasan tersebut dan dikeringkan dengan kain bersih. Begitu juga jika kesan tersebut adalah kesan air kencing perlu dibersihkan terlebih dahulu dan dialirkan air mutlak sehingga hilang bau, rasa dan warnanya seterusnya dikeringkan dengan kain yang bersih.
Sekian, terima kasih.