BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya kini melanjutkan pelajaran saya di UiTM Cawangan Terengganu, Kampus Dungun. Dan bertinggal di asrama. Tetapi rumah tetap saya berada di Ampang, Selangor. Persoalan saya ialah, apabila saya balik ke rumah untuk cuti pertengahan semester yang berdurasi 1 minggu, adakah saya boleh Jamakkan dan Qasarkan Solat pada waktu itu? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Perlu diketahui terlebih dahulu definisi mukim dan mastautin. Mukim ialah "orang yang berniat untuk menetap di suatu kawasan lebih daripada 3 hari tidak termasuk hari sampai dan pulang". Manakala mastautin didefinisikan dengan maksud “orang yang tinggal di suatu tempat dan tidak ada niat untuk berpindah ke tempat lain”. Merujuk kepada situasi yang dinyatakan, UITM Dungun merupakan mukim tuan kerana tuan masih menyambung pelajaran serta tinggal di asrama tersebut, manakala Ampang Selangor dikira sebagai tempat mastautin yang merupakan kediaman tetap tuan.

Oleh itu, tuan hanya diharuskan solat secara jamak dan qasar semasa perjalanan pergi dan pulang kerana ia mengambil hukum rukhsah di dalam safar (perjalanan). Adapun saat tibanya tuan di tempat mastautin (Ampang) maka tuan perlu mengerjakan solat secara tamam (sempurna) serta tidak mendapat rukhsah (keringanan) untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 28

message user image