BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan. Saya nak bertanya soalan berkaitan solat jumaat. Keluarga saya akan mengadakan hari keluarga pada hujung bulan depan. Jadi kami semua akan bercuti dan bermalam di sebuah tempat peranginan Glamping di Hulu Langat. Ada ahli keluarga saya yang mencadangkan untuk kami dirikan solat jumaat di tempat kami bermalam tersebut, bukannya di masjid sebab jumlah ahli keluarga semua dah mencukupi 40 orang. Adakah sah solat jumaat kami tersebut? Sebab saya ada terbaca untuk dirikan solat jumaat perlu dirikan di tempat khusus yang dibenarkan yang mendapat keizinan pemerintah dan khatib yang memberi khutbah perlu ada tauliah daripada pemerintah. Harap dapat bantu saya


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Ahli keluarga yang terlibat hendaklah menunaikan solat Jumaat di masjid atau surau Jumaat berhampiran lokasi penginapan. Hal ini kerana, solat jumaat hanya sah ditunaikan di masjid dan surau yang mendapat kebenaran untuk menunaikan solat jumaat oleh ulil amri (pemerintah). Perkara ini  berdasarkan kenyataan Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 1 Jun 2020 berhubung "Hukum Menunaikan Solat Jumaat Di Tempat Yang Tidak Dibenarkan Oleh Ulil Amri (Pemerintah)".

Kefardhuan menunaikan solat Jumaat adalah selaras dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumuah: 9).

Ijma’ para ulama menghukumkan bahawa solat Jumaat adalah fardhu yang wajib didirikan oleh semua orang Islam bagi lelaki yang cukup syarat-syaratnya. Juga terdapat pandangan hukum yang menyatakan adalah tidak sah menunaikan solat Jumaat di tempat yang tidak dibenarkan oleh ulil amri menurut Mazhab Imam Syafie dalam qaul qadimnya. 
(Kitab al-Bayan fi Mazhab al-Imam as-Syafie, Jilid 2/618).

Larangan ini bertepatan dengan Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 (EPAINS 2003) berhubung sekatan tentang penubuhan masjid dan penalti menyatakan:

(1) Tiada seorang pun boleh, tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis, mendirikan apa-apa bangunan untuk digunakan, atau menggunakan atau menyebabkan supaya digunakan mana-mana bangunan, bagi perkara-perkara yang hanya boleh dilakukan di atau oleh masjid.

(2) Mana-mana orang yang melanggar peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesimpulanya, solat Jumaat yang didirikan di tempat yang tidak dibenarkan oleh ulil amri  adalah TIDAK SAH dan bertentangan dengan Enakmen Pentadbiran yang sedang berkuat kuasa. Bagi mereka yang telah menunaikan solat Jumaat selain daripada tempat yang ditentukan oleh ulil amri  hendaklah menggantikan (qada’) semula dengan solat Zuhur.

Rujukan lanjut adalah seperti dalam pautan dan paparan berikut:
https://www.facebook.com/share/p/1ACyNTQxeU/

  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 34

message user image