Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz. Saya selalu rasa was was dan tidak senang hati. Contoh jika seluar saya terkena sedikit air kencing, setitis atau dia. Lalu saya merendamkannya kedalam baldi berisi air. Kemudian air itu saya buang. Terkena pada kaki, lantai. Perlukah saya hanya sekadar membasuh tempat yang terkena air itu sehinggakan tiada kesan bau Dan rasa? Ataupun perlu semuanya dicuci dengan air? Kerana saya risau mutannajis. Tetapi agak sukar untuk berbuat demikian. Saya juga risau berlebih lebihan dalam bab ini. Mohon pencerahan ustad pasal ini. Saya risau berpindah-pindah najis itu
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, jika seluar terkena air kencing kemudian direndam dan dibilas, seluar tersebut sudah dianggap suci. Adapun air rendaman yang terkena kaki atau lantai, memadai dialirkan air bersih sahaja sekadar untuk menghilangkan kotoran dan tidak perlu sampai membersihkan seluruh kawasan. Perasaan was-was yang hadir tidak perlu dilayan. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Hasan bin Ali RA cucu Rasulullah SAW, beliau berkata:
Maksudnya : Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Riwayat al-Tirmizi)
Sekian, terima kasih.