BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, Alhamdulillah syukur kepada Allah s.w.t yg memberi nikmat kesihatan keamanan dan rezeki yang melimpah ruah kepada kita umat islam di malaysia. Semoga Allah.s.wt menjadikan bumi malaysia ini bumi yang berkah dan penduduknya sentiasa bertakwa kepada Allah.

 

Kepada barisan panel jabatan mufti, sy mempunyai soalan yang selalu mengganggu fikiran sy iaitu berkaitan saudara2 kita di palastin dan tindakan kita sebagai umat islam dimalaysia. Umum sedia maklum bahawa dana haji dan umrah merupakan antara sumbangan terbesar bagi ekonomi Arab Saudi.. Yang mana keuntungan dari perbelanjaan umat islam menunaikan haji dan umrah disalurkan untuk pelaburan yang melibatkan negara-negara yg memusuhi islam dan secara terang terangan mendanai aktiviti ketenteraan yang akhirnya menghancurkan umat islam di palastin Gaza terutamanya.

Soalan sy.. Bagaimanakah tindakan kita sebagai umat islam sekiranya kita ingin menunaikan umrah pada masa ini? Adakah dibolehkan dan adakah sekiranya rasulullah masih hidup baginda akan membenarkan kita melakukan umrah sedangkan saudara kita menderita diatas dana yg disalurkan kepada pihak musuh?

Adakah kita perlu untuk menangguhkan niat kita kepada masa yang lebih sesuai dan mengutamakan saudara kita di palastin dengan menyerahkan duit perbelanjaan umrah kita kepada pihak yang diyakini yang boleh membantu saudara kita di sana sedangkan kita tahu bahawa bantuan itu boleh jadi tidak akan sampai kerana adanya sekatan dari pihak musuh.?

 

Bolehkah kita menunaikan umrah dengan niat untuk melengkapkan rukun islam, dan dalam masa yang sama saudara kita dibunuh dan diseksa dengan kejam hasil dari keuntungan haji dan umrah?

Mohon penjelasan T.kasih..

 

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Semoga tuan sekeluarga berada di bawah rahmat dan inayah Allah SWT sentiasa. Pertamanya, alhamdulillah dan tahniah  diucapkan kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat di Malaysia seperti tuan yang sentiasa mengambil berat urusan umat Islam di Palestin. Berkenaan persoalan yang diajukan, sehingga kini tiada bukti rasmi sama ada dalam mahupun luar negara yang mengatakan bahawa keuntungan yang diperolehi kerajaan Arab Saudi daripada operasi haji dan umrah digunakan untuk pelaburan di negara bukan Islam seperti Amerika Syarikat. Bahkan terdapat bukti yang menunjukkan bahawa keuntungan tersebut digunakan untuk pembangunan infrastruktur negara. Selain itu, kerajaan Arab Saudi juga direkodkan telah menyediakan atau memberi satu dana yang besar bagi membantu saudara kita di Palestin. 

Antara jual beli yang dilarang mengikut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi'i ialah menjual senjata kepada orang kafir yang memerangi Islam. Disebutkan dalam kitab Rawdhat al-Talibin karya Imam al-Nawawi (400/3) ketika beliau menerangkan bentuk jual beli yang dilarang:

وَمِنْهَا: بَيْعُ السِّلَاحِ لِأَهْلِ الْحَرْبِ، لَا يَصِحُّ، وَيَجُوزُ بَيْعُهُمُ الْحَدِيدَ؛ لِأَنَّهُ لَا يَتَعَيَّنُ لِلسِّلَاحِ.

Maksudnya: Antaranya, menjual senjata kepada orang yang berperang (iaitu orang yang memerangi orang Islam), maka jual beli tersebut adalah tidak sah. Adapun, menjual besi kepada mereka adalah dibolehkan kerana ia tidak semestinya digunakan untuk membuat senjata. 

Justeru, setelah diketahui bahawa keuntungan daripada operasi haji dan umrah tidak digunakan untuk tujuan tersebut secara jelas, apatah lagi sememangnya tidak digunakan untuk pelaburan di negara yang memusuhi Islam, maka ia tidak memberi kesan terhadap ibadah umrah yang dilakukan oleh seseorang. 

Seterusnya, umrah adalah wajib sekali seumur hidup mengikut mazhab Syafi'i. Oleh itu, jika umrah yang dilakukan ialah umrah sunat, maka menggunakan perbelanjaan tersebut sebagai dana bagi membantu penduduk Palestin adalah diutamakan kerana menyelamatkan nyawa saudara kita di sana adalah diutamakan. Kita perlu berikhtiar dalam memberikan sumbangan ke pihak tertentu bagi memastikan sumbangan tersebut akan sampai kepada saudara kita di Palestin secara yakin atau sangkaan yang kuat walaupun terdapat kemungkinan bantuan tersebut mungkin disekat. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 34

message user image