Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Solat hormat waktu wujud ke dalam Islam?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, solat hormat waktu itu ada menurut mazhab Syafi’e sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam An-Nawawi Rahimahullah, di dalam kitab Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab yang bermaksud ; “Jika seseorang itu diwajibkan solat maktubah, dan dia bimbang jika turun dari tunggangannya (kenderaan) untuk solat mengadap qiblat akan menyebabkan dia ditinggalkan rombongan atau bimbang keselamatan diri atau hartanya, maka dia tidak boleh meninggalkan solat dan membiarkan waktu solat habis, akan tetapi dia wajib solat di atas haiwan tunggangannya bagi menghormati waktu dan wajib qada’ semula solat tersebut kerana ia merupakan uzur yang jarang berlaku”. Adapun, ia dibenarkan melakukannya dalam keadaan jika seseorang muslim berada dalam situasi darurat kerana berdepan halangan tertentu untuk mendapatkan air mutlak. Jika seseorang mempunyai halangan untuk mendapatkan air mutlak maka pengganti kepada wuduk adalah tayammum dengan menggunakan debu yang bersih, sedangkan waktu solat semakin berakhir dan tiada harapan untuk mendapatkan dua alat bersuci tersebut. Dalam keadaan ini, pendapat di dalam mazhab Syafi’e tetap mengatakan wajib solat setakat yang termampu walaupun dalam keadaan tidak memenuhi syarat sah atau rukun solat tertentu dan wajib mengqada’ semula solat tersebut apabila mampu melaksanakannya secara sempurna. Solat ini yang dinamakan solat hormat waktu. Firman Allah SWT di dalam surah at-Taghaabun ayat ke 16; Maksudnya; “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu, dan dengarlah (akan pengajaran-pengajarannya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya”. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.