Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.. Saya sekarang sedang menetap di luar negara & agak sukar untuk mendapatkan makanan yang tertera logo halal.. Ada sesetengah produk menggunakan cochineal dalam makanan sebagai bahan pewarna.. Soalan saya, adakah menurut mazhab kita (syafie), bahan tersebut adalah halal? Sebab saya telah merujuk daripada pelbagai sumber dan dapatannya adalah berbeza-beza..
Mohon penjelasan & kepastian.. Terima kasih..
Jawapan
Memetiik daripada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4 hingga 6 Julai 2012 yang telah membincangkan Hukum Bahan Pewarna Cochineal: Kajian Semula Kadar Piawaian Yang Ditetapkan Oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI.
Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa cochineal adalah jenis serangga (kumbang betina) yang tidak membahayakan dan zat pewarna yang dihasilkan daripada cochineal boleh dimanfaatkan oleh manusia. Dari segi perundangan negara, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah menetapkan bahawa pewarna carmine yang diperolehi dan dihasilkan daripada cochineal adalah dibenarkan berdasarkan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).
Muzakarah juga menegaskan bahawa Jumhur Fuqaha’ sepakat menetapkan bahawa bangkai serangga yang darahnya tidak mengalir adalah suci, dan pewarna cochineal adalah diperolehi daripada serangga cochineal yang telah mati di mana darahnya tidak mengalir.
Berdasarkan ketetapan tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan pewarna cochineal dalam makanan, minuman dan barang gunaan adalah DIHARUSKAN dan kadar penggunaan yang dibenarkan adalah mengikut ketetapan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia selagi mana ia tidak mendatangkan kemudharatan.
Begitu juga keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (MJKFNS) Kali 1/2013 yang bersidang pada 29 Januari 2013 bersamaan 17 Rabiul Awwal 1434H telah memutuskan bahawa:
Hukum menggunakan bahan pewarna cochineal dalam pemakanan adalah diharuskan.
Sekian, terima kasih.