Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tn/Pn,
Saya ada penyakit epilepsy. Saya sudah didiagnose dan sudah habis rawatan dari pakar neurologi. Keadaan saya sekarang Alhamdulillah, saya mampu untuk kesan bila epilepsy saya akan trigger dan apa perlu saya buat. Walaupun saya sudah habis rawatan, saya perlu mengambil ubat seumur hidup. Ubat yang saya ambil ini akan membuat saya mengantuk dan susah untuk bangun pagi. Saya kerap kali terlepas waktu solat subuh, dan terjaga selepas pukul 8 pagi.
Pernah beberapa kali saya set alarm pukul 530pagi dan memaksa diri untuk bangun solat subuh dalam keadaan mengantuk disebabkan ubat, akhirnya saya kena serangan epilepsy pagi itu dan saya ada kecederaan kekal di tangan kiri.
Saya ingin meminta pendapat mufti, adakah berdosa besar bagi saya jika saya kerap kali terlepas waktu solat subuh dan hanya melakukan qada solat subuh?
Terima kasih.
Jawapan
Semoga puan sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT dan dikurniakan kesembuhan segera. Berkenaan persoalan yang diajukan, Hukum memakan ubat yang menyebabkan tersangat mengantuk dan terlepas waktu solat adalah dimaafkan iaitu dibolehkan untuk mengqadha. Perlakuan ini adalah sesuatu yang tidak disengajakan atau tiada niat untuk meninggalkan solat, seperti kesan ubat yang menyebabkan mengantuk atau boleh mendatangkan mudharat yang lebih teruk. Namun jika seseorang sengaja mengambil ubat untuk menjadi sebab meninggalkan solat maka ia dikira sebagai berdosa.
Justeru, bagi situasi puan di mana ubat yang dimakan mungkin memberi kesan mengantuk selama 10 jam atau lebih sehingga membuatkan puan terlepas dan tidak sedar ketika waktu subuh, atau sedar tapi membawa kesan yang memudaratkan, maka situasi ini dianggap satu keuzuran. Oleh itu, puan tidak dikira berdosa dalam hal ini kerana tiada niat meninggalkan solat. Walaubagaimanapun pasanglah niat dan azam serta berdoa kepada Allah "Aku berdoa dan berazam padaMu Ya Allah agar aku solat dalam waktunya". Semuga Allah mempermudahkan urusan dan memperkenan doa.
Sekian, terima kasih.