BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum WBT

Saya mempunyai kemusykilan berkenaan status perkahwinan ibu dan bapa saya. Bapa saya kini berusia 78 tahun, seorang pesara kerajaan dan ibu 72 tahun seorang suri rumah. Semenjak saya kecil, ayah seorang yang baran dan kerap memarahi dan memukul ibu dan kami adik beradik. Jika bergaduh dengan ibu, sudah banyak kali ayah saya melafazkan lafaz cerai seperti "Aku ceraikan kau", "kalau macamni perangai kau, baik bercerai sahaja" dan banyak lagi. Walaupun saya masih kecil pada ketika itu, saya memahami perkataan cerai itu kerana sejak dari sekolah rendah hingga menengah saya bersekolah di sekolah agama. Saya tidak tahu sama ada ibu dan bapa merujuk ke pejabat agama atau tidak tetapi saya yakin perkataan cerai itu telah dilafazkan terlalu banyak dan melebihi 3 kali. Adik beradik saya juga mengetahui tentang perkara ini tetapi masing-masing hanya mendiamkan diri. Kini, ibu tinggal bersama saya dan ayah tinggal di rumah adik saya yang tidak jauh dari rumah saya disebabkan keengganan bapa untuk tinggal bersama saya. Persoalan saya sekarang, jika saya mengetahui mengenai perkara ini, apakah yang patut saya lakukan? Ibu selalu pergi melawat ayah dan akan bermalam. Saya sering merasa bersalah dan merasa berdosa seolah saya bersubahat menyembunyikan perkara ini. Mohon pencerahan dari pihak tuan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan, secara asasnya pengesahan talak samada jatuh atau tidak adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang dinyatakan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57. Pihak yang boleh memfailkan kes pengesahan lafaz cerai ini adalah samada suami atau isteri dan status talak tidak boleh diputuskan oleh anak-anak atau mana-mana pihak selain daripada Mahkamah Syariah, walaupun mungkin anak-anak menyaksikan apa yang berlaku antara ibu dan bapa mereka.

Oleh yang demikian, antara tindakan yang puan boleh laksanakan :

a) Berbincang dengan bapa secara tertutup, hikmah dan penuh kasih sayang dan menerangkan tentang kepentingan untuk mengesahkan apa-apa lafaz yang mengandungi perkataan talak, cerai atau yang seumpama dengannya.

b) Mengalakkan dan mengesyorkan bapa dan ibu berjumpa atau melaporkan mengesahan cerai di Mahkamah Syariah atau membuat pertanyaan dan aduan rasmi ke Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran.

c) Jika bapa atau ibu puan tetap enggan berurusan, maka puan dan adik beradik yang lain telah terlepas dari sebarang kaitan bersubahat atau bersalah kerana puan dan adik beradik yang lain telah melaksanakan tanggungjawab menegur dengan hikmah, mencadangkan solusi menurut kehendak undang-undang serta nasihat yang terbaik kepada mereka. 

d) Perbanyakkan doa, munajat serta solat hajat, agar Allah SWT melembutkan hati bapa puan untuk menguruskan perkara ini dengan cara yang terbaik.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 84

message user image