Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya ganti puasa pada 26/11 tapi pada pukul 5 ada spotting tetapi saya terus meneruskan puasa. Kemudian tidak ada yg keluar (spotting) selepas itu.
Lalu pada 5/12 saya period sedikit sedikit selama 6 hari. Saya juga ada memakai alat pencegah kehamilan (iucd) yang menyebabkan period saya tidak tetap, sedikit dan kadang2 tidak datang period selama beberapa bulan.
Soalan saya adakan ganti puasa saya pada 26/11 itu sah?
Terima kasih
Jawapan
Secara asasnya, tempoh minimum haid adalah sehari semalam (24 jam) sama ada darah keluar secara berterusan (bersambung sehari semalam) atau keluar secara sedikit-sedikit dalam tempoh 15 hari (maksimum haid) dan mencukupi jumlah 24 jam. Merujuk kepada persoalan, darah yang keluar iaitu spotting yang berlaku pada jam 5 petang adalah darah istihadhah kerana tidak memenuhi syarat asas haid iaitu minimum haid sehari semalam (24 jam). Maka, puasa pada hari tersebut adalah sah.
Sekian. Terima kasih.