Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai hukum gambar salib dalam buku di rumah. Contohnya buku yang di dalamnya terdapat gambar salib seperti di dalam komik dan sebagainya. Apakah hukum menyimpan buku-buku tersebut di rumah?
Jawapan
Hukum menyimpan buku atau barang yang ada lambang salib padanya bergantung kepada tujuan penyimpanan tersebut. Sekiranya menyimpannya atas tujuan kajian dan pendidikan yang bermanfaat maka diharuskan selagi mana tiada unsur-unsur penghormatan kepada salib tersebut. Begitu juga harus menyimpan buku komik yang kebetulan ada lambang salib di dalamnya juga dengan syarat tiada unsur-unsur penghormatan kepada salib. Adapun menyimpan sesuatu barang yang ada salib tanpa ada sebarang tujuan atau bertujuan penghormatan, maka ia diharamkan.
Sekian, terima kasih.