Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Sy baru sahaja melahirkan anak melalui cara pembedahan.
Pada hari ke-14, sifat nifas sy bertukar warna dari merah kepada warna kekuningan pada waktu pagi dan seterusnya berhenti ( Tiada kesan warna kekuningan apabila dimasukkan tisu). Akan tetapi pada hari ke-15, yakni pada waktu zohor, darah warna merah kehitaman keluar semula.
Pada hari ke-15 tersebut, ada mengangkat benda yang berat.
Apakah hukum darah yg keluar pada hari ke-15 itu, masih nifas atau haid?
Jawapan
Secara asasnya, sebanyak-banyak tempoh nifas adalah 60 hari. Jika darah berhenti beberapa hari (kurang dari 15 hari) kemudian darah keluar semula ia masih dianggap sebagai darah nifas selagi ia tidak melebihi 60 hari tempoh maksimum nifas. Adapun begitu, jika darah telah berhenti hendaklah mandi wajib, solat dan puasa tanpa menunggu cukup 60 hari. Dalam kitab Raudhah al-Talibin:
Maksudnya: Apabila darah nifas berhenti, maka ia mempunyai dua keadaan. Keadaan yang pertama adalah ia tidak melebihi 60 hari. Oleh itu, perlu diperhatikan, jika tempoh naqa’ (darah berhenti) di antara dua darah itu tidak mencapai sekurang-kurang suci (15 hari) seperti dia melihat sehari darah sehari naqa’, maka semua tempoh masa keluar darah itu adalah nifas tanpa ada khilaf.
Merujuk kepada soalan, darah yang keluar semula pada hari ke 15 tersebut dihukumkan sebagai darah nifas kerana darah yang keluar semula tersebut masih berada dalam tempoh maksimum nifas 60 hari.