BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan.

Isteri saya seorang yang baik, tapi terlalu baik yang amat merisaukan saya. Apa hukumnya saya membiarkan isteri saya:

1. di sentuh lelaki selain suami atau darah dagingnya secara sengaja atau pun tidak

2. Lelaki lain komen di facebook yang boleh di lihat oleh orang lain. Contohnya, isteri saya menaikkan status di facebook, tekanan untuk menghadapi perperiksaan master yang mendatang, dan di komen oleh lelaki lain seperti 'hugs' (peluk), walaupun perkataan 'hugs' tersebut hanya sekadar komen di facebook

3. Bergambar berdua dengan lelaki lain sama ada rapat atau pun tidak, atau pun bergambar tanpa ada apa apa niat daan perasaan

Harap tuan dapat membantu masalah saya ini.

Terima kasih


message user image

Jawapan  

.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

.الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, terdapat dalil berkaitan larangan bersentuhan antara lelaki dan perempuan bukan mahram iaitu sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لأَن يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya: Sekiranya dicucuk kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, nescaya itu lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya (bukan mahram). - Riwayat Al Thabrani

Muktamad di dalam Mazhab Syafi’e, bersentuhan antara lelaki dan perempuan bukan mahram, sama ada secara langsung atau berlapik, adalah tidak dibenarkan jika tiada keperluan yang mendesak. Justeru, sentuhan tersebut hendaklah dielakkan. Islam juga melarang segala jalan yang membawa kepada penzinaan, termasuk komunikasi berunsur emosi walaupun hanya melalui tulisan. Komen lelaki ajnabi seperti hugs, emoji peluk atau kata-kata yang bersifat intim di media sosial adalah tidak dibenarkan kerana termasuk dalam zina lidah dan hati. 

Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra' ayat 32:-

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۚ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan jalan yang buruk.

 Larangan ini bukan hanya zina, tetapi semua jalan yang membawa ke arahnya, termasuk komunikasi berunsur emosi. Ianya juga termasuk bergambar berdua dengan lelaki lain sama ada rapat atau pun tidak, atau pun bergambar tanpa ada apa-apa niat dan perasaan.

Oleh yang demikian, seorang suami dipertanggungjawabkan oleh syarak untuk menjaga, membimbing serta menegur isterinya dengan cara yang berhemah dan berhikmah, demi memelihara maruah diri, keharmonian rumah tangga dan ketaatan kepada perintah Allah SWT. Seorang suami tidak seharusnya berdiam diri apabila mengetahui wujudnya perbuatan yang bercanggah dengan syariat Islam, sebaliknya wajib menasihati dengan penuh hikmah, kasih sayang dan kebijaksanaan, tanpa menimbulkan mudarat atau pertelingkahan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 91

message user image