BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..

Saya ingin bertanya.. Suami telah melakukan kecurangan pada tahun 2023 dan berkata/berjanji pada saya "saya akan lepaskan awak jika saya buat lagi" dan dia juga menyatakan perkara yang sama pada adik kandungnya bahawa "abang akan lepaskan akak jika abang buat lagi". 

Pada November 2025, saya temui suami masih berchating dengan orang ke-3 tersebut. Dan berdasarkan chat history, ia bermula pada May 2025 sehingga oktober 2025. 

Jadi, pertanyaan saya, adakah senario diatas boleh dikira jatuh talak?

sekian terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan:

Berdasarkan kenyataan yang puan jelaskan di atas, bahawa suami puan ada melafazkan taklik yang berbunyi :" saya akan lepaskan awak jika saya buat lagi ". Lafaz tersebut adalah suatu lafaz yang berbentuk perkhabaran atau cadangan, iaitu sekiranya suami puan curang, maka dia akan lepaskan puan dengan maksud, selepas perbuatan itu dilakukan (curang) dan suami puan kalau melafazkan talak atau cerai secara jelas atau sorih, maka ketika itu barulah boleh menyebabkan jatuhnya talak, namun sebaliknya, jika tiada lafaz talak selepas perbuatan itu dilakukan maka tidak jatuh talak.

Walau bagaimanapun, puan dan suami hendaklah merujuk perkara ini ke Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera supaya mendapat pengesahan yang lebih jelas daripada pihak yang berautoriti, kerana pengesahan lafaz cerai adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 73

message user image