Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya gaduh dah marahkan suami saya. Dalam hati, saya cakap/niat, saya nak ziharkan suami saya atau saya nak cerai.
Adakah jatuh zihar/talak jika isteri mengatakkan zihar/nak cerai?
Jawapan
Menjawab persoalan puan, zihar dan talak adalah dua perkara yang berbeza. Kedua-dua perkara tersebut tertanggung ke atas suami bukan isteri. Maknanya orang yang berkuasa untuk menziharkan dan mentalakkan isteri adalah suami bukan sebaliknya. Sekiranya puan ingin memohon perceraian, hendaklah menggunakan kuasa Hakim Syarie yang berhak membubarkan sesuatu perkahwinan dengan alasan yang dibenarkan oleh Syarak. Sehubungan itu, puan boleh menghubungi pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk mengetahui prosedur dan dokumen yang diperlukan serta penjelasan berkenaan perkara tersebut selanjutnya.
Sekian, terima kasih.