BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan/puan.
Saya mohon jasa baik anda, harap pertanyaan ini tidak dikongsikan di mana-mana platform. Saya perlukan pendapat kerana saya buntu mencari jalan penyelesaian.

Saya dan isteri sudah berkahwin hampir 4 tahun. Kami belum ada anak dan masih PJJ. Awal 2 tahun pertama kami tinggal bersama. Masa itu saya hilang pekerjaan dan isteri banyak menyokong dari segi kewangan. Saya hanya mampu urus kerja rumah dan memasak. Saya mohon banyak kerja tetapi banyak kali ditolak. Dari situ isteri mula tawar hati. Saya pula rasa hilang semangat, hilang keyakinan dan tidak tahu apa lagi yang boleh saya buat. Bila ada dititik paling bawah, saya mula give up dan agak kurang apply kerja.

Setiap usaha saya dipersoalkan. Kadang-kadang isteri terlepas cakap dan suka membandingkan, tapi saya lebih banyak diam dan cuba bertahan. Saya banyak pendam, selalu sedih dan rasa diri tak berguna sebab gagal beri kebahagiaan seperti yang saya rancang. Nafkah batin juga hampir setahun lebih saya tak dapat walaupun saya cuba meminta. Saya ada terbaca isteri tulis, dia tolak untuk bersama sebab nak mengajar saya. Saya tak salahkan dia dan saya faham, saya tak banyak membantu. Isteri pun stress di tempat kerja atau masalah dia sendiri dengan situasi kami lagi. Apapun memang salah saya. Saya gagal tunai tanggungjawab sebaiknya pada masa itu. Isteri pernah beberapa kali minta dilepaskan, tapi saya tetap berkeras mahu selamatkan rumah tangga. 

Alhamdulillah, sekarang keadaan kami bertambah baik. Kami berdua sudah ada kerja dan stabil sikit. Saya juga konsisten beri nafkah setiap bulan dan cuba perbaiki apa yang dulunya saya abaikan. Cuma kami masih PJJ, isteri di Kedah dan saya di KL. Bila ada cuti, saya cuba balik untuk meluangkan masa dengan isteri.

Isu pertama ialah nafkah batin.
Apabila saya balik, isteri sering main telefon. Bila ditegur, dia dengar tetapi selepas itu main telefon balik. Bila saya cuba ajak bersama, saya rasa seperti terpaksa mengemis. Isteri juga elakkan berbincang dan kadang jadi marah. Dia beritahu dia syak ada masalah vaginismus kerana rasa sakit ketika bersama. Saya jadi tak sampai hati nak paksa untuk bersama. Saya risau mungkin ada trauma atau takut hamil kerana kami baru nak stabil. Kos rawatan vaginimus pula agak mahal (lebih kurang RM2k+), belum berkemampuan dan banyak komitment lain perlu dijelaskan. Tapi saya cuba sikit demi sedikit kumpul even tak banyak lagi untuk bantu isteri buat rawatan.

Isu kedua ialah soal tinggal serumah.
Selepas ayah isteri meninggal, dia tinggal dengan ibu dan adik lelaki. Ibu masih rindukan arwah, selalu sebut dan bergantung banyak pada isteri. Abang sulung sudah berkahwin, ada family sendiri dan tinggal asing, cuma balik hujung minggu. Abang sulungnya bagus semua kebajikan maknya, masih jaga dengan baik. Saya pernah suarakan hasrat nak tinggal bersama di KL, tetapi isteri berat hati kerana risaukan ibu. Saya faham, tapi kadang saya juga terasa kerana isteri macam kurang peduli dekat saya. Saya banyak tanya or call dia. 

Bila cakap soal rumah kedepan hari, isteri nak juga selit request mahu rumah mak dia sebelah dengan rumah kami. Pada awalnya saya okay, tak kisah tetapi lama-lama saya yang makan hati. Mak dia masih ada anak lelaki 2 orang tapi masih juga nak ikut kami. Kadang mak dia bergurau dengan saya, katanya tak mahu duduk dengan anak lelakinya lagi lebih selesa duduk dengan kami. Entahla saya okay sebenarnya cumanya kadang nak personal space dengan isteri. Saya rasa saya selalu mengalah dan banyak memendam. Kadang saya rasa terguris dengan cara layanan isteri, tapi saya masih lagi dan sangat sayangkan dia.

Saya mohon pandangan, apa yang patut saya buat untuk pulihkan hubungan kami dan cari jalan terbaik untuk rumah tangga ini. Saya harap tuan/puan tak post dimana mana platform, takut isteri saya terjumpa statement ini. Niat saya bukan nak buka aib isteri or family tapi saya cuma nak selamatkan rumahtangga saya. Saya cuma nak yang terbaik untuk kami berdua


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Dalam melayari kehidupan berumahtangga pasti banyak cabaran dan rintangan yang terpaksa dihadapi oleh mana-mana pasangan yang telah berkahwin. Dalam konteks permasalahan yang tuan hadapi ini, apa yang positif adalah tuan tetap berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dengan baik. Tuan tidak lari dari tanggungjawab, tuan masih bertahan, tuan bangkit semula membina keyakinan dan tanggungjawab dan yang amat penting tuan masih memilih untuk memperbaiki bukan melepaskan. Ini semua membuktikan bahawa tuan bukan lelaki yang gagal, tetapi lelaki yang berusaha untuk membina keutuhan rumahtangga dengan lebih kukuh dan kuat.   

Berkaitan isu nafkah batin, ia bukan isu hubungan seks semata-mata, tetapi ia juga amat berkait dengan emosi. Mungkin emosi isteri tuan masih belum stabil atau masih terkesan dengan kepayahan dia memikul beban kewangan sebelum ini atau pernah rasa kecewa dan tawar hati atau sebagainya. Walaupun keadaan luaran nampak stabil, namun luka emosi belum sembuh sepenuhnya.

Tindakan isteri tuan bermain telefon yang dia pegang itu mungkin sebagai mekanisme elak (avoidance) iaitu menghindari sesuatu secara sengaja bagi mengelakkan emosi kembali terganggu. Tindakan seumpama ini berlaku bukan kerana tuan tidak cukup baik sebagai suami sekarang, tetapi mungkin kerana emosi lama isteri belum selesai. Walaubagaimana pun, isteri wajib memahami tanggungjawabnya sebagai isteri terutama dalam bab layanan, perhatian dan hubungan suami isteri. Rasulullah SAW memberi peringatan yang sangat menakutkan kepada para isteri tentang perkara ini sebagaimana hadis daripada Abi Hurairah RA daripada Nabi SAW berkata :

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ، فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا، لَعَنَتْهَا الْمَلَائِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Yang bermaksud : “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur lalu isterinya enggan (tanpa sebab syarie), dan suami bermalam dalam keadaan marah, maka para malaikat melaknatnya hingga pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim)

Dalam isu berkaitan persoalan tinggal serumah, pandangan jumhur ulama, termasuk Syafi‘i : Suami wajib menyediakan tempat tinggal yang selamat dan sesuai untuk isterinya, bagi menjaga maruah, privasi dan ketenteram rumahtangga. Dalam Islam juga dinyatakan bahawa seorang isteri wajib taat kepada suami dalam perkara makruf, termasuk soal tempat tinggal, selagi tidak membawa mudarat yang jelas kepada ibu atau dirinya. Maka secara hukum, suami berhak menentukan lokasi tempat tinggal pasangan, isteri pula tidak boleh memaksa suami tinggal berhampiran ibu jika itu menjejaskan keharmonian, menghilangkan hak emosi suami dan menimbulkan tekanan berpanjangan.

Dalam isu seumpama ini, ia merupakan konflik yang sangat sensitif serta sukar untuk ditanggapi dengan terburu-buru, ia perlu kesabaran dan hikmah yang tinggi. Bagi pihak isteri pula, berbakti kepada ibunya adalah suatu kewajiban tetapi ada batasannya. Ini kerana ibu mertua tuan masih ada anak-anak lain yang boleh membantunya. Harus diingat bahawa kewajiban birrul walidain tidak boleh dilaksanakan dengan cara menzalimi hak pasangan, tetapi carilah bentuk bakti yang lain yang tidak menganggu keharmonian rumah tangga.

Sebagai solusi akhir, bawalah abang-abang ipar untuk berbincang dengan cara hikmah, penuh kasih sayang dan toleransi. Lihatlah gambaran dan kesan yang lebih besar selain ingin meraikan ibu mereka, harus juga melihat kesan kepada rumahtangga orang lain yang lebih utama untuk diraikan dan diselamatkan. Perbanyakkan doa kepada Allah SWT serta munajat yang tulus ikhlas kepada Allah SWT. Yakinlah setiap apa yang berlaku itu ada hikmah yang sengaja Allah SWT tidak tunjukkan kepada kita secara langsung tetapi hikmah itu pasti akan hadir dalam pelbagai bentuk dan anugerah Ilahi. 

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 192

message user image