BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Apakah status doa selepas tahyat akhir dan sebelum memberi salam pada solat fardu dan solat sunat?

Ada yg cakap kita boleh berdoa apa sahaja di dalam hati dan juga berdoa minta perlindungan drp azab neraka & azab kubur, drp fitnah hidup & mati, perlindungan drp fitnah dajal

Boleh kah kita berdoa semasa waktu ini (ie: selepas tahyat akhir & sebelum memberi salam)

Sebab bila saya periksa di website semakhadis.com, status hadis yg mengatakan berdoa semasa selesai baca tahyat akhir & sebelum memberi salam, status hadis itu ialah MUNKAR

so, mana satu yg betul?

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Secara asasnya, kita disunatkan berdoa selepas membaca tasyahud dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, serta sebelum memberi salam. Hal ini berdasarkan sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas'ud RA:

كُنَّا إِذَا كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي الصَّلَاةِ، قُلْنَا: السَّلَامُ عَلَى اللَّهِ مِنْ عِبَادِهِ، السَّلَامُ عَلَى فُلَانٍ وَفُلَانٍ، فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: (لَا تَقُولُوا السَّلَامُ عَلَى اللَّهِ، فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ السَّلَامُ، وَلَكِنْ قُولُوا: التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ، وَالصَّلَوَاتُ، وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، فَإِنَّكُمْ إِذَا قُلْتُمْ أَصَابَ كُلَّ عَبْدٍ فِي السَّمَاءِ، أَوْ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، ثُمَّ يَتَخَيَّرُ مِنَ الدُّعَاءِ أَعْجَبَهُ إِلَيْهِ فَيَدْعُو)

Maksudnya: Kami dahulu apabila bersama Nabi SAW dalam solat, kami mengucapkan: Salam ke atas Allah daripada hamba-hamba-Nya, salam ke atas si fulan dan si fulan. Maka Nabi SAW bersabda: Janganlah kamu mengatakan salam ke atas Allah, kerana sesungguhnya Allah itu sendiri adalah As-Salām. Tetapi ucapkanlah: Segala penghormatan, segala solat dan segala kebaikan adalah milik Allah. Salam sejahtera ke atasmu wahai Nabi, serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Sesungguhnya apabila kamu mengucapkannya, ia akan sampai kepada setiap hamba (Allah) yang berada di langit atau di antara langit dan bumi. Kemudian (bacalah): Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba-Nya dan rasul-Nya. Setelah itu, hendaklah dia memilih doa yang paling disukainya, lalu dia berdoa dengannya. (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, terdapat anjuran di dalam agama supaya seseorang berdoa sebelum memberi salam. Antara doa yang paling utama dibaca selepas membaca tasyahud dan sebelum memberi salam ialah doa-doa yang sabit daripada sunnah Nabi SAW. Imam al-Bukhari telah meletakkan sebuah bab dalam kitab Sahihnya, iaitu “Bab Doa Sebelum Salam" dan di antara doanya adalah sebagaimana hadis daripada Saidatina Aisyah RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلَاةِ: "اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ "، فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ: مَا أَكْثَرَ مَا تَسْتَعِيذُ مِنَ الْمَغْرَمِ، فَقَالَ: "إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ، وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ 

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW berdoa di dalam solat dengan doa: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur. Aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah al-Masih ad-Dajjal. Aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah kehidupan dan fitnah kematian. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan bebanan hutang. Lalu seseorang berkata kepada baginda: Alangkah kerapnya engkau berlindung daripada hutang. Baginda pun bersabda: Sesungguhnya seseorang itu apabila dibebani hutang, dia akan berkata lalu berdusta, dan dia berjanji lalu memungkiri. (Riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanapun, jika seseorang memilih untuk membaca doa yang lain maka perkara tersebut juga dibenarkan dan tidak menjadi kesalahan. Doa tersebut hendaklah dilafazkan dalam bahasa Arab.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 31

message user image