Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan.
Saya mempunyai persoalan tentang cara pembayaran zakat pendapatan di Selangor. Zakat pendapatan di Selangor mempunyai 2 nisab dalam masa setahun (Januari - Jun & Julai - Disember). Selalunya saya membuat pembayaran zakat setahun sekali dipenghujung bulan Disember setiap tahun, menggunakan kalkulator yg disediakan di website Zakat Selangor. Persoalan saya, adakah pengiraan & pembayaran zakat saya pada hujung tahun tahun itu, telah mengambil kira kiraan dari bulan Januari pada tahun tersebut, atau hanya dikira dari bulan Julai hingga Disember sahaja? Bagaimana cara pembayaran zakat pendapatan di Selangor yang sebetulnya? 2 kali setahun (berdasarkan nisab tahunan Januari - Jun & Julai - Disember) atau kiraan oleh kalkulator zakat pendapatan yang saya buat pada hujung tahun itu, telah merangkumi jumlah zakat pendapatan saya dari bulan Januari hingga Disember pada tahun semasa? Kekeliruan berlaku pada diri saya apabila tiada penerangan berkaitan kiraan zakat pendapatan apabila nisab tahunannya dibahagi kepada 2 jumlah dalam masa setahun. Terima kasih tuan.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Zakat pendapatan ialah zakat yang dikenakan ke atas al-Mal al-Mustafad (harta pendapatan) yang diperolehi daripada kerja dan usaha yang dilakukan sama ada dalam bentuk gaji, upah, subsidi, elaun, bonus, honorarium, pencen, hadiah, hantaran, pampasan, pusaka dan lain-lain. Kewajipan zakat ini adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat ke-267:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.
Berdasarkan situasi yang dikemukakan, pembayaran zakat pendapatan adalah tertakluk kepada kadar nisab semasa, iaitu sebanyak RM35,449.00. Penetapan kadar nisab ini dibuat berdasarkan harga emas semasa yang mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Sehubungan itu, zakat pendapatan memadai dijelaskan berdasarkan kadar nisab semasa yang telah ditetapkan oleh Lembaga Zakat Selangor, iaitu bagi jumlah pendapatan yang diterima sepanjang tahun semasa (Januari 2025 hingga Disember 2025) oleh individu yang memenuhi syarat kewajipan zakat. Sekiranya jumlah pendapatan atau baki wang simpanan selepas digunakan bagi keperluan harian tidak mencapai kadar nisab yang ditetapkan, maka zakat pendapatan tidak diwajibkan untuk dikeluarkan.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut atau pengesahan yang lebih tepat, adalah dicadangkan agar tuan merujuk terus kepada pihak Lembaga Zakat Selangor selaku agensi rasmi yang menguruskan hal ehwal zakat di negeri Selangor.
Sekian, terima kasih.