Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ingin bertanya. Jika seorang wanita warga Indonesia berkahwin dengan lelaki tempatan di Malaysia. Tetapi bernikah cara kampung bukan melalui wali hakim/ pejabat agama. Tak pasti melalui sindiket atau apa. Tanpa wali nasab si wanita. Si wanita ada bapa dan abang di Malaysia. Cuma sudah tidak berhubung. Yang mengetahui pernikahan itu hanya nenek si wanita. Adakah sah pernikahan mereka mengikut syarak? Mereka ada anak dan didaftarkan dengan sijil lahir indonesia yg diuruskan boleh orang yg menikahkan mereka juga.
Kerisauan akan status pernikahan mereka. Takut jika dikira bersubahat sekiranya tidak sah dari hukum syarak.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan, asasnya sesuatu pernikahan itu diiktiraf oleh syarak bila ia sempurna rukun-rukun dan sempurna syarat-syaratnya. Dalam situasi di atas didapati ada masalah berkaitan wali. Menurut maklumat yang puan nyatakan di atas :
Wanita tersebut masih mempunyai bapa (wali nasab)
Bapa masih hidup
Hanya tidak berhubung
Nikah melalui cara kampung, tidak melalui Pejabat Agama Islam yang sebenar dan tidak menggunakan wali nasab yang sebenar dan kalau menggunakan wali hakim berkemungkinan wali hakim yang tidak diiktiraf oleh undang-undang yang sah.
Maka, berdasarkan kenyataan ini, pernikahan tersebut amat meragukan dan boleh menyebabkan pernikahan itu tidak sah pada syarak.
Oleh yang demikian, puan boleh mengesyorkan pasangan tersebut melaporkan perkara ini pada kedar segera ke mana-mana Pejabat Agama Islam yang berhampiran atau terus ke Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi menentukan secara rasmi status pernikahan pasangan serta status anak-anak yang lahir daripada pernikahan tersebut.
Sekian terima kasih