Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalaamualaikum wbt tuan mufti.
1.Apa hukum najis hukmi menurut 4 mazhab, adakah betul menurut mazhab hanafi menghukumkan najis hukmi suci?
2.mazhab hanbali dan maliki tidak batal wudhu sebab tidur tetapi batal wudhu jika tidur lama persoalanya berapa jamkah atau minitkah tidur yang lama menurut mazhab maliki dan hanbali ia batal
3.mazhab maliki gerak bibir mulut sudah sah bacaan al fatihah di dalam solatnya persoalanya adakah gerak bibir mulut sahaja atau kena berbisik dan bagaimana hukum tajwidnya?
4.menurut mazhab hanafi tidak wajib menggunakan air mutlak untuk menyucikan najis janji hilang sifat najis persoalanya jika saya menggunakan kapas sahaja untuk menyucikan najis adakah ia suci jika hilang sifat najis?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Merujuk kepada persoalan tuan,
1) Mazhab Syafiʿi & Hanbali menyatakan najis hukmī tetap najis dan tidak menjadi suci kecuali dengan air mutlak. Mazhab Maliki pula menyatakan bahawa najis hukmi dihukumkan najis, tetapi dimaafkan dalam situasi tertentu kerana faktor masyaqqah. Mazhab Hanafi tidak mengatakan najis hukmi itu suci secara mutlak, tetapi jika hilang semua sifat najis (warna, bau, rasa), maka hukumnya dianggap suci walaupun tanpa air mutlak
2) Mazhab Maliki wuduk batal jika tidur yang menghilangkan kesedaran, tidak kira samada sekejap atau lama dan dalam keadaan duduk atau baring. Penentu bukan tempoh masa, tetapi hilang kawalan pancaindera. Manakala dalam Mazhab Hanbali, wuduk batal jika tidur nyenyak, tidak kira tempoh masa. Oleh itu, tiada ukuran jam atau minit dalam kedua-dua mazhab, yang diambil kira ialah tidur nyenyak / hilang rasa.
3) Di dalam pandangan Mazhab Maliki berkaitan bacaan al-Fatihah dengan gerak bibir adalah dengan syarat huruf mesti keluar dari makhraj yang tepat, wajib melaksanakan tajwid asas dan bunyi mesti didengar oleh diri sendiri (jika tiada halangan). Oleh itu, sekadar gerak bibir sahaja tanpa suara ianya tidak sah.
4) Menurut Mazhab Hanafi, tidak suci jika sekadar mengelap najis menggunakan kapas sahaja walaupun ain najisnya telah pun dibersihkan atau dihilangkan. Ia perlu dialirkan air mutlak ke tempat yang terkena najis tersebut bagi menjadikan ianya suci daripada najis.
Dalam konteks 'uruf di Malaysia, tidak ada keperluan untuk sewenang-wenangnya bertalfiq atau mengikut kepada mazhab yang lain tanpa keperluan walaupun pada asalnya, hukum seorang bermazhab Syafi'e bertaqlid kepada mazhab yang lain dalam bab najis adalah dibenarkan dengan syarat perlu meraikan semua hukum-hakam solat dan bersuci dalam mazhab yang lain.
Sekian, terima kasih.