Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
QAZAF VS SUMBANG MAHRAM
saya mohon penjelasan dan penerangan terperinci berhubung qazaf dan sumbang mahram. Adakah sumbang mahram adalah sebahagian daripada qazaf? jika perkara tersebut dituduh tanpa ada bukti kukuh dan hanya dakwaan/tuduhan tersebut diklasifikasikan sebagai FITNAH? Fitnah Qazaf?
Lokasi : tuduhan berlaku di Rawang Selangor
Jawapan
Firman Allah SWT dalam suran An-Nur:4
Bermaksud: Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.
Qazaf dari segi istilah syarak ialah melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya. Maka dengan pergertian ini bolelah dirumuskan bahawa rukun-rukun bagi kesalahan qazaf sehingga persalahnya dikenakan hukuman had itu ada tiga :
1. Menuduh zina atau menafikan keturunan.
2. Syarat-syarat yang membuat tuduhan dan yang dilemparkan tuduhan.
3. Adanya qasad (niat sengaja)
Manakala sumbang mahram adalah berzina dengan orang yang tidak boleh dikahwini mengikut hukum syarak dan merupakan perbuatan terkutuk dan dilaknat oleh Allah SWT. Perbuatan yang diumpamakan seperti “haruan makan anak” ini adalah perlakuan tidak berakhlak dan mengundang kerosakan terhadap masa depan individu dan seterusnya merosakkan institusi keluarga serta masyarakat. Hukuman syariahnya sangat berat di akhirat, manakala di dunia, ia akan dihukum mengikut undang-undang sivil atau syariah negara, selalunya melibatkan denda, penjara, dan sebatan, bergantung kepada bukti dan peruntukan undang-undang yang ada.
Merujuk kepada persoalan, sekiranya seseorang menuduh orang lain berzina dan terbukti memang berlaku penzinaan maka tuduhan itu tidak dikira sebagai qazaf. Sekiranya tuduhan itu tidak benar dan bertujuan memfitnah atau memburukkan orang semata, maka tuduhan itu dikira qazaf. Hukum qazaf adalah haram dan termasuk daripada dosa-dosa besar.
Sekian, terima kasih.