BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Isteri saya ada belikan anak kasut. Setelah beberapa minggu baru saya perasan, kulit dalamannya tu ada 3 titik seperti kulit babi(3 titik tidak sekata). Saya terus periksa kedai online tersebut dan disitu ditulis material pu leather. Anak saya sudah pakai dalam keadaan basah dan memijak lantai rumah. Apakah status kasut tersebut? Adakah saya perlu yakin yang tu memang pu leather atau saya perlu sertu?Betul ke saya pernah dengar, selagi tiada bukti yang kukuh bahawa itu kulit babi, tidak perlu sertu? Untuk makluman saya telah buang kasut tersebut. Tetapi rasa was was tetap ada pada lantai dan barang2 lain yg pernah terkena dalam keadaan basah.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

.الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan,

1) Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap suci sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis samada melalui ain, warna dan rasanya. Ini berdasarkan kepada kaedah fiqah:

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: "Asal hukum sesuatu perkara itu adalah suci".

Oleh itu, jika secara andaian telah membeli kasut dari kulit babi dan tiada pemakluman daripada pihak penjual yang menyatakan bahawa kasut tersebut adalah diperbuat daripada kulit babi, maka kasut tersebut adalah tidak bernajis dan tidak menajiskan yang lain apabila tersentuh dengannya. Ini kerana andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang suci.

2) PU leather (polyurethane leather) ialah bahan sintetik, bukan kulit haiwan. Oleh itu, bentuk “3 titik” atau pori-pori tidak boleh dijadikan sebagai bukti bahawa  ia adalah kulit babi. Melainkan terdapat pengakuan dari pengilang, label jelas “pigskin” atau maklumat rasmi yang betul ia kulit babi. Sehubungan itu, jika tiada bukti yang kukuh, maka kasut tersebut adalah kekal suci dan tidak perlu sertu. Barang-barang lain dan juga lantai yang tersentuh dengan kasut tersebut tidak perlu disertu.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 31

message user image