Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya dan isteri sudah berkahwin lebih 2 tahun. Sepanjang perkahwinan kami duduk di rumah keluarga saya. Pada mulanya saya berjanji untuk tinggal di rumah sewa setelah berkahwin tetapi ibu bapa menyuruh untuk duduk rumah keluarga. Saya teruskan duduki rumah dengan berjanji memberi lebih duit tunai sebagai nafkah untuk menggantikan tempat tinggal yang dijanjikan. Tiada konflik akan tetapi apabila kami berasa tidak puas hati perkara itu akan diungkitkan. Jika kami bercerai adakah isteri boleh menuntut nafkah tertunggak dan lain-lain? Perjanjian duit lebih untuk nafkah diberi secara lisan.
Jawapan
Tempat tinggal merupakan antara kewajipan yang perlu dipenuhi oleh suami terhadap isterinya. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Talaq ayat 6:
Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu.
Sekiranya tempat tinggal wajib disediakan bagi wanita yang diceraikan suaminya dalam tempoh iddah, maka bagi seseorang yang masih sah bergelar isteri adalah lebih layak dan berhak. Berdasarkan persoalan yang diajukan, isteri boleh menfailkan tuntutan nafkah tertunggak di Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih.