Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah hukum seorang isteri menggunakan ubat pengasih untuk menundukkan suami?
Sekiranya suami mendapat tahu perkara sebenar dengan bukti-bukti, bolehkah suami menceraikan isteri? Bagaimana dengan hak penjagaan anak-anak?
Jawapan
Menjawab persoalan puan, isteri yang menggunakan ubat pengasih untuk menundukkan suami hukumnya adalah haram.
Sekiranya suami mendapat tahu perkara sebenar dengan bukti yang ada, maka terpulang kepada suami untuk menceraikan isterinya atau tidak kerana talak itu adalah di tangan suami dengan kebenaran dan kelulusan mahkamah syariah. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 231:
وَإِذَا طَلَّقۡتُمُ ٱلنِّسَاۤءَ فَبَلَغۡنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمۡسِكُوهُنَّ بِمَعۡرُوفٍ أَوۡ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعۡرُوفࣲۚ
Maksudnya : Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik.
Manakala hak penjagaan anak-anak boleh difailkan sama ada oleh suami atau isteri dan keputusannya akan ditentukan oleh Hakim Syarie di Mahkamah Syariah berdasarkan kelayakan ibu dan bapanya.
Sekian, terima kasih.