Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.saya ingin bertanya.adakah talak jatuh jika lafaz cerai (bersyarat, "jika gaduh lagi..cerai seperti yang awak mahukan" & telah bergaduh lagi selepas lafaz) tetapi isteri tidak mendengar lafaz cerai dari suami dan lafaz itu tidak bersungguh-sungguh dari suami.ketika lafaz..suara tidak kuat kerana masa itu tidak berniat untuk bercerai.
Jawapan
Menjawab persoalan saudara berdasarkan kepada situasi yang dikemukakan, sekiranya lafaz cerai yang diucap oleh suami itu merupakan lafaz cerai yang sorih (jelas) maka jatuhlah talak ke atas isteri walaupun tidak bersungguh-sungguh atau suara tidak kuat ataupun tidak berniat untuk cerai. Ini kerana lafaz cerai yang diucap secara sorih tidak memerlukan kepada niat suami. Walaubagaimanapun dalam perkara ini, tuan/puan dinasihatkan untuk membuat pengesahan di Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal agar perkara tersebut dapat diputuskan dan disahkan.
Sekian, terima kasih