BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ingin bertanya apakah hukum membuat bentuk manusia atau binatang menggunakan clay (tanah liat) sebagai model perhiasan, keychain, dan sebagainya? Namun bentuk manusia atau binatang itu adalah dalam bentuk kartun, bukan seperti nyata.

terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, secara umum hukum mengukir, membuat bentuk manusia serta melukis gambar boleh ditentukan dengan beberapa ketentuan seperti berikut:

HARAM:

1. Seandainya melukis atau mengukir sesuatu objek, sama ada hidup seperti manusia dan binatang (lengkap atau tidak) atau tidak hidup seperti arca, pokok dan sebagainya dengan niat menjadikannya sebagai sesuatu untuk disembah seperti berhala, atau apa-apa unsur syirik, maka hukumnya adalah haram. Ini bertepatan firman Allah SWT di dalam surah Al-A’raf 191:

أَيُشْرِكُونَ مَا لَا يَخْلُقُ شَيْئًا وَهُمْ يُخْلَقُونَ 

Maksudnya: Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda (berhala) yang tidak dapat menciptakan sesuatu pun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan?

Sesungguhnya Islam melarang umatnya dari menyekutukan Allah SWT seperti menyembah berhala, maka membuat berhala hukumnya adalah haram.

2. Begitu juga haram melukis atau mengukir patung objek hidup, yang lengkap anggota badan atau tidak lengkap, sama ada manusia atau binatang, dengan niat menandingi ciptaan Allah SWT, maka ia adalah dilarang. Sebagai mana hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina 'Aisyah beliau menceritakan:

قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ سَفَرٍ، وَقَدْ سَتَرْتُ بِقِرَامٍ لِي عَلَى سَهْوَةٍ لِي فِيهَا تَمَاثِيلُ، فَلَمَّا رَآهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَتَكَهُ وَقَالَ: «أَشَدُّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ القِيَامَةِ الَّذِينَ يُضَاهُونَ بِخَلْقِ اللَّهِ» قَالَتْ: فَجَعَلْنَاهُ وِسَادَةً أَوْ وِسَادَتَيْنِ.

Maksudnya: Pernah Rasulullah SAW pulang dari bermusafir dan aku ketika itu menutupi diri dengan kain tipis milikku di atas lubang angin pada tembok lalu di kain tersebut terdapat gambar-gambar. Ketika Rasulullah SAW  melihat hal itu, beliau merobeknya dan bersabda, “Sesungguhnya orang yang paling berat seksanya pada hari kiamat adalah mereka yang membuat sesuatu yang menandingi ciptaan Allah.” ‘Aisyah mengatakan, “Akhirnya kami menjadikan kain tersebut menjadi satu atau dua bantal.  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Pengharaman tersebut dikuatkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَوَّرَ صُورَةً، فَإِنَّ اللَّهَ مُعَذِّبُهُ حَتَّى يَنْفُخَ فِيهَا الرُّوحَ، وَلَيْسَ بِنَافِخٍ فِيهَا أَبَدًا

Maksudnya: Sesiapa yang melukis gambar (makhluk bernyawa) sesungguhnya Allah akan mengazabnya sehingga (jika disuruh) meniupkan ruh ke dalam gambar tersebut dia tidak mampu berbuat demikian selama-lamanya. (Riwayat al-Bukhari)

Di hadis yang lain daripada Abdullah Bin Mas'ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : 

إنَّ أشدَّ النَّاسِ عذابًا عندَ اللَّهِ المصَوِّرونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang paling berat seksaannya (nanti di Hari Kiamat) ialah orang yang membuat melukis gambar (makhluk bernyawa). (Riwayat al-Bukhari)

Keharamannya lebih berat sekiranya lukisan atau patung tersebut menjadi perhiasan atau pameran kepada orang ramai yang seolah-olah mengagungkannya serta menimbulkan rasa bangga kepada pemilik atau pembuatnya.

3. Begitu juga haram hukumnya melukis atau mengukir sesuatu lambang atau syiar agama lain seperti lambang bunga teratai bagi agama Hindu, Salib bagi agama Kristian dan Naga bagi agama Buddha. Ini adalah kerana ia dilihat sebagai suatu pengiktirafan dan pemuliaan agama mereka.

 

MAKRUH:

Melukis atau mengukir patung objek hidup, yang tidak lengkap anggota badan, sama ada manusia atau binatang, tanpa berniat niat untuk menandingi ciptaan Allah dan tidak untuk dipamerkan.

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اسْتَأْذَنَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «ادْخُلْ» فَقَالَ: كَيْفَ أَدْخُلُ وَفِي بَيْتِكَ سِتْرٌ فِيهِ تَصَاوِيرُ، فَإِمَّا أَنْ تُقْطَعَ رُءُوسُهَا، أَوْ تُجْعَلَ بِسَاطًا يُوطَأُ. فَإِنَّا مَعْشَرَ الْمَلَائِكَةِ لَا نَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ تَصَاوِيرُ

Maksudnya: Jibril AS meminta izin kepada Nabi SAW untuk masuk ke rumahnya. Nabi SAW menyebut: Masuklah. Kata Jibril: bagaimana aku nak masuk sedangkan di dalam rumah engkau ada langsir yang ada lukisan (gambar makhluk bernyawa) padanya. Sama ada engkau potong kepala (lukisan tersebut) atau dijadikan alas yang dipijak-pijak. Maka sesungguhnya kami para malaikat tidak memasuki rumah yang ada di dalamnya gambar. (Riwayat al-Nasai)

 

HARUS:

1.Melukis, mengukir atau membuat patung objek bernyawa, sama ada manusia atau haiwan, adalah diharuskan sekiranya ia dibuat khusus sebagai alat permainan kanak-kanak.

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina 'Aisyah RA bahawa beliau berkata:

كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَ لِي صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِي، فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ، فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِي

Maksudnya: Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sahabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda SAW menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku. (Riwayat al-Bukhari)

2. Membuat patung bagi tujuan pembelajaran seperti patung bagi pelajaran ilmu perubatan adalah diharuskan.

3. Membuat robot berupa manusia bagi tujuan kajian penggunaan atau khidmat manusia untuk kegunaan yang diharuskan dari segi syarak adalah diharuskan. Ini adalah kerana robot tersebut dianggap sebagai alat. Walau bagaimanapun,  jauhi dari membuat wajah robot menyerupai wajah individu tertentu.

Berdasarkan perbahasan di atas elakkanlah dari membuat bentuk manusia atau binatang menggunakan clay (tanah liat) sebagai model perhiasan, keychain, dan sebagainya meskipun ia dalam bentuk kartun.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 104

message user image