BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya nak tanya apa hukum kalau saya buat affiliate dan bila orang tekan beg kuning..mereka akan pergi ke kedai tersebut dan terdapat iklan yang modelnya tidak menutup aurat dengan sempurna.

Adakah ia berdosa?

Adakah saya dikategorikan sebagai pembawa dosa kepada orang?

Mohon pihak mufti untuk merungkai persoalan saya.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan pertanyaan saudara, affiliate marketing merupakan satu sistem pemasaran menggunakan komisen. Sebagai contoh, seorang affiliate marketer akan mendapat komisen daripada setiap jualannya. Sistem ini tidak hanya terletak pada jualan produk kerana affiliate marketing mempunyai banyak jenis dan konsepnya. Dalam bahasa mudah, seseorang yang menyertai program affiliate marketing hanya perlu mempromosikan produk ataupun laman web menerusi pautan alamat url affiliate ID tersendiri yang diberikan oleh pemilik produk.

Jika terdapat pembeli yang klik alamat url tersebut dan kemudian membuat pembelian di laman web itu, pemiliknya akan memberi komisen kepada peserta tersebut. Ada komisen diberikan atas sebab mempromosikan laman web tersebut dan ada juga komisen diberikan disebabkan oleh pembelian yang dilakukan oleh pembeli melalui alamat url affiliate peserta tersebut. Jika  berdasarkan kepada bentuk di atas, pada asasnya ia adalah harus.

Sekalipun begitu, keharusan program affiliate ini juga terikat atau bergantung kepada kandungan dan produk laman web yang disertai sama ada mengandungi perkara halal atau haram. Dalam erti kata lain, hukum program affiliate ini boleh berubah menjadi haram sekiranya ia mengandungi perkara yang diharamkan oleh syarak seperti mengandungi kandungan lucah atau pornografi, ada unsur perjudian, adanya penipuan dan lain-lain atau produk yang dipromosikan adalah produk yang diharamkan oleh syarak seperti penjualan babi, arak dan seumpamanya.

Hal ini kerana ia boleh dianggap tolong-menolong dalam perkara kemungkaran sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Oleh itu, selagimana produk atau perkhidmatan atau segala elemen yang berkaitan dengan produk atau perkhidmatan yang diiklankan adalah mematuhi hukum syarak dan sah dari sudut undang-undang maka pendapatan yang diterima juga adalah harus.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 44

message user image