Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Apa hukum tidak melipat sejadah selepas solat, ada hukum khusus atau tidak digalakkan sahaja? mohon pencerahan daripada pihak yang lebih arif... terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, perbuatan tidak melipat sejadah selepas solat adalah tidak berdosa namun lebih kepada adab dan adat yang baik. Amalan melipat semula sejadah selepas digunapakai sangat digalakkan untuk menjaga kebersihan, tertib, serta kekemasan sesuatu tempat. Jika tidak berkesempatan melipat semula, tiada masalah. Tetapi kalau melipat, ia lebih sempurna dari sudut adab. Menjaga kekemasan dan usaha mencantikkan ruang solat atau selainnya merupakan satu bentuk kecantikan yang disukai oleh Allah SWT sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas'ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha Cantik dan Dia suka kepada kecantikan.
Selain itu, perbuatan melipat sejadah selepas solat dapat menjaga kebersihan sejadah daripada dipijak atau terkena kotoran serta menunjukkan sifat kemas, tertib dan menghargai kelengkapan ibadah.
Sekian, terima kasih.